PENDUDUK di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang petang tadi dikejutkan dengan asap hitam dan tebal yang menjulang ke udara yang dapat disaksikan sejauh lebih tiga kilometer.
Kejadian itu berpunca daripada kebakaran sebuah kilang plastik kitar semula di Kawasan Perusahaan Bukit Minyak, Bukit Mertajam kira-kira pukul 6 petang.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.01 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian katanya, didapati kebakaran melibatkan sebuah kilang pembuatan plastik kitar semula dengan anggaran keluasan 2,500 meter persegi.
“Kilang itu turut dianggarkan musnah sebanyak kira-kira 70 peratus ,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut jurucakap itu, usaha memadamkan kebakaran terpaksa dibantu oleh pasukan bomba dari BBP Sungai Bakap, Perai, Batu Kawan, Kepala Batas dan Bayan Baru selain beberapa pasukan bomba sukarela berhampiran.
Difahamkan, punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami pemilik kilang masih dalam siasatan dan setakat ini dilaporkan tidak ada kecederaan atau kemalangan jiwa ekoran kejadian itu.
Leave a Reply