uncle lim kit siang bersara umno

Berhentilah menyalak, lebih baik Uncle Kit Siang bantu mangsa banjir

SEJAK dari hari pertama musibah banjir melanda lima negeri, Uncle Lim Kit Siang tidak berhenti-henti memainkan sentimen politik dengan menyalahkan kerajaan dan menteri-menteri Kabinet.

Malah, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar kerajaan menjalankan pascanilai terhadap sistem perparitan bandar pun turut dipolitikkannya.

Pemimpin veteran DAP itu seolah-olah memutarbelitkan titah tersebut dengan mentafsirkannya sebagai kegagalan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mungkin Uncle Kit Siang terlalu ghairah mempolitikkan isu banjir sehingga beliau terlupa bahawa sebahagian besar lokasi yang terjejas teruk akibat banjir adalah di bawah pentadbiran rejim Pakatan Harapan (PH).

Malah, Shah Alam, Hulu Langat, Klang dan Sepang diwakili oleh Ahli-ahli Parlimen PH yang didakwa ‘ghaib’ seketika ketika banjir mula melanda.

Apakah Kit Siang buat-buat tak tahu bahawa Selangor telah diperintah oleh rejim PH sejak 2008?

Sepanjang tempoh 13 tahun ini, apa yang pentadbiran rejim PH telah lakukan untuk memastikan masalah banjir yang berlaku di Selangor setiap tahun daripada berulang?

Ternyata, kerajaan negeri Selangor di bawah rejim PH bukan sahaja gagal mengatasi masalah gangguan bekalan air yang tidak berkesudahan, malah mereka tidak mengambil tindakan konkrit bagi mencegah isu ‘air berlebihan’.

Namun, Uncle Kit Siang kelihatan malu-malu kucing untuk menegur pentadbiran rejim PH Selangor yang turut dianggotai pemimpin-pemimpin partinya sendiri.

Seperti biasa, beliau cuba mengalihkan fokus rakyat dengan meletakkan beban kesalahan kepada kerajaan Persekutuan bagi menutup kelemahan rejim PH di Selangor.

Sebagai orang yang terlalu lama bergelumang dalam bidang politik, Kit Siang sepatutnya faham bahawa perbuatan menuding jari menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

Rakyat Selangor juga lebih bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah murahan yang cuba ‘dijual’ oleh Uncle Kit Siang.

Daripada menyalak tak tentu hala menuduh orang itu salah, orang ini tak betul, lebih baik Kit Siang luangkan lebih banyak masa turun padang membantu mangsa banjir di kawasan-kawasan yang diwakili pemimpin-pemimpin PH.

Dengan cara itu, beliau dapat mengetahui sendiri situasi sebenar yang berlaku dan mendengar rintihan rakyat Selangor yang menderita akibat kegagalan rejim PH di negeri itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *