PERBADANAN PR1MA Malaysia (PR1MA) telah menambah RM3 juta sekali gus menjadikan peruntukan keseluruhan untuk misi bantuan banjir kepada Keluarga Malaysia yang terjejas berjumlah RM5 juta.
Sumbangan tersebut merangkumi bantuan waterjet, kelengkapan kebersihan diri, bantal, tilam, selimut serta bakul makanan.
Pengerusi PR1MA, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, peruntukan itu merupakan langkah Bantuan Tambahan Bencana Banjir 2021 #PR1MAKita untuk meringankan beban mangsa banjir.
Kata beliau, ia juga selari dengan inisiatif yang diumumkan kerajaan.
“Memahami kepayahan mereka yang terjejas seperti kehilangan tempat tinggal, kerosakan harta benda serta keadaan rumah yang dipenuhi lumpur, PR1MA akan menyalurkan bantuan tambahan seperti waterjet untuk membersihkan kawasan rumah, kelengkapan pembersihan diri, bantal, tilam dan selimut serta bakul makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bantuan-bantuan itu akan disumbangkan kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas dengan bencana alam berkenaan.
Sebelum ini, PR1MA juga telah menggerakkan lebih 100 kakitangan di Hulu Langat dan Taman Sri Muda, Shah Alam bagi kerja-kerja pembersihan kediaman mangsa banjir.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Mohd. Nazri Md. Shariff berkata, PR1MA akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan koordinasi serta gerak kerja teratur bagi kerja pembahagian barangan sumbangan kepada mangsa banjir.
“Tidak lupa juga kepada pembeli kita yang terjejas, kita di PR1MA akan berhubung dengan anda dan berharap dapat membantu anda sedaya mungkin,” katanya.
Leave a Reply