AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah kapal kargo yang dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 0.7 batu nautika barat Bagan Ajam semalam.
Kapal kargo ‘MV KONG’ sepanjang 59.97 meter yang didaftarkan di Sierra Leone itu ditahan kira-kira pukul 1.30 petang.
Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan sembilan kru dan nakhoda terdiri daripada tiga warga Indonesia serta enam warga Iran berusia antara 34 hingga 47 tahun.
Jelas beliau, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Kapal dan kru tersebut kemudiannya dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan selanjutnya.
“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abd. Razak, Maritim Malaysia Pulau Pinang akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan negeri itu serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau 04-2643650.
Leave a Reply