ahmad faizal azumu dubai

Hati tak tenteram lihat banjir, Peja di Dubai hanya 12 jam

SEJAK berlakunya bencana banjir minggu lalu, pelbagai dakwaan terutamanya melibatkan menteri Kabinet yang dikatakan mengetepikan nasib rakyat semata-mata untuk pergi bercuti.

Salah seorang menteri Kabinet yang menerima tempias dakwaan berkenaan adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dikatakan berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Memetik laporan UtusanTV, Ahmad Faizal menjelaskan yang beliau sebenarnya berada di Malaysia.

Berdasarkan panggilan video kepada UtusanTV, beliau sedang menjalani kuarantin kendiri di sekitar Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui memohon cuti untuk ke Dubai selepas hampir dua tahun tidak bertemu dengan dua orang anaknya yang berada di United Kingdom (UK).

Beliau menjelaskan membuat keputusan untuk bertemu keluarganya di Dubai memandangkan kes Omicron yang tinggi di UK.

“Memang saya ada mohon cuti dan bila diluluskan, saya ke Dubai pada hari Rabu lalu untuk bertemu anak-anak.

“Namun begitu, melihatkan kepada keadaan banjir yang melanda negara, hati saya jadi tak tenteram.

“Jadi, saya buat keputusan untuk beli tiket pulang hanya selepas kira-kira 12 jam berada di sana. Saya sempat duduk berbual seketika dengan anak-anak sebelum berlepas pulang pada pukul 8 pagi Khamis, sebelum arahan pulang dibuat Perdana Menteri,” katanya.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun bagaimanapun memahami kekecewaan dan penderitaan ditanggung rakyat.

“Saya tahu saya penjawat awam, saya sedar kepentingan rakyat lebih didahulukan. Itu pengorbanan yang perlu dibuat.

“Saya minta maaf, saya mengaku ada banyak kelemahan. Walaupun saya menteri dan tidak sempurna tetapi tidak sampai tahap mahu menyisihkan rakyat.

“Saya faham semua penderitaan kerana saya juga pernah berada dalam situasi sukar. Tiada kerja dan sebagainya,” katanya.

Ahmad Faizal juga memaklumkan telah mengadakan mesyuarat secara maya sebaik tiba di tanah air, semalam bagi menggerakkan sukarelawan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membantu mangsa pasca banjir.

Malah, katanya, KBS turut menawarkan fasiliti termasuk pusat latihan Majlis Sukan Negara (MSN) sekiranya perlu digunakan untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya telah koordinasikan pergerakan sebab ada sukarelawan KBS di negeri-negeri yang tidak terkesan mahu datang membantu.

“Saya juga dah minta untuk melaksanakan rentas kementerian sama ada dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *