300 sukarelawan dari Kedah bertolak ke Selangor

Oleh RIZQI ZABIDI

SERAMAI 300 sukarelawan dari Kedah digerakkan ke Selangor bagi melaksanakan misi khidmat masyarakat dan bantuan banjir terhadap mangsa-mangsa yang terjejas dalam kejadian itu, baru-baru ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kehadiran sukarelawan itu merupakan tambahan kepada bantuan awal yang sudah pun diberikan sebelum ini termasuk dari segi kewangan berjumlah RM200,000 seperti diumumkan kerajaan negeri Kedah, sebelum ini.

Katanya, pergerakan konvoi tersebut melibatkan sebanyak 40 kenderaan terdiri daripada kereta, lori dan pacuan empat roda yang dilengkapi peralatan diperlukan.

“Semua kenderaan tersebut dilengkapi dengan peralatan lengkap untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan. Setibanya di Selangor, mereka akan dibahagi-bahagikan kawasan dan tugas yang sudah ditentukan oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Insya Allah esok saya juga akan ke sana untuk turut serta dengan sukarelawan ini bagi membantu membersihkan kawasan terlibat. Kami akan berada di sana hingga 28 Disember depan bagi melaksanakan misi sukarelawan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelepasan konvoi Misi Khidmat Masyarakat Dan Bantuan Banjir Kerajaan Negeri Kedah ke Selangor di Dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Sukarelawan tersebut terdiri daripada pegawai dan anggota agensi kerajaan negeri dan Pusat di Kedah antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Sementara itu katanya, keupayaan Kedah untuk terus kekal menjadi negeri yang menerima pelaburan tertinggi di Malaysia pada tahun ini seperti diumumkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) semalam, banyak didorong oleh faktor kestabilan politik, lokasi strategik dan nilai hartanah yang berpatutan.

Di samping itu katanya, kepantasan agensi terlibat dalam memenuhi keperluan pelabur turut memainkan peranan terutamanya menerusi pelaksanaan permit pembinaan ekspress (E10) sebelum ini.

“Sejak kita memperkenalkan E10, pelabur hanya tidak perlu menanti selama tiga atau empat tahun untuk beroperasi sebaliknya tempoh masa diperlukan cuma 10 bulan saja.

“Selain itu beberapa faktor lain seperti nilai hartanah yang masih murah serta kebaikan orang Kedah juga antara sebab mengapa Kedah dijadikan sebagai destinasi pilihan untuk melabur,” katanya.

Semalam MIDA memaklumkan, Kedah kekal menjadi negeri yang menerima pelaburan tertinggi di Malaysia bagi tempih antara Januari hingga September dengan nilai keseluruhan RM57.1 bilion diikuti Sarawak (RM23.9 bilion) serta Kuala Lumpur (RM22.5 bilion).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *