MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) memberi kelonggaran untuk penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran kepada mereka yang terlibat dalam bencana banjir.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peminjam perniagaan turut diberi kelonggaran itu selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.
“Bagi mereka yang menjadi mangsa banjir dan terkesan dengan bencana itu, mereka boleh memohon kelonggaran tersebut dengan menghubungi Pejabat MARA Negeri atau Daerah berhampiran.
‘’Insentif ini merupakan tanda keprihatinan MARA terhadap kepayahan dan kerugian yang ditanggung oleh penerima kemudahan yang terjejas akibat bencana tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga memaklumkan, buat masa ini MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana tersebut.
Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, kata Mahdzir pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa.
“Saya berharap insentif ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban peminjam terutamanya usahawan dalam memulihkan kembali operasi dan aliran tunai syarikat.
Kita juga amat bersimpati dengan musibah bencana banjir yang melanda kali ini dan berharap agar semua mangsa yang terkesan dapat bersabar dengan ujian yang terpaksa dihadapi ini,” katanya.
Mereka yang berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan insentif bencana banjir ini, boleh layari laman sesawang https://www.mara.gov.my.
Leave a Reply