Oleh RIZQI ZABIDI
Seramai 155 sukarelawan Universiti Utara Malaysia (UUM) dari kampus utamanya di Sintok, Kubang Pasu digerakkan ke Selangor bagi membantu mangsa bencana banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Haim Hilman berkata, kesemua mereka terdiri daripada 141 pelajar dan 14 kakitangan telah pun bertolak ke negeri itu kelmarin.
Katanya, sebanyak empat bas dan lori yang membawa bekalan air bersih serta makanan turut digerakkan bagi membantu mangsa yang terkesan akibat bencana itu.
“Dedikasi serta semangat ditunjukkan warga UUM ini menunjukkan betapa kita turut peka dan mengambil berat terhadap keperluan masyarakat di negara ini.
“Golongan pelajar turut diberi perhatian dengan UUM akan menyalurkan bantuan berjumlah RM160,000 buat pelajar yang terkesan dengan banjir ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Sukarelawan UUM, Mohd. Khairone Md. Khatidin memaklumkan, sukarelawan terlibat dibahagikan tugas untuk memastikan misi bantuan tersebut berjalan dengan lancar.
“Selain bantuan makanan kepada keluarga terjejas, kerja gotong-royong turut dijalankan di beberapa lokasi seperti kolej penginapan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Puchong Indah, Padang Jawa, Taman Restu, Hulu Langat, Kota Raja, Kapar dan Sepang,” katanya. ]
Leave a Reply