TIMBALAN Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebak melihat bayi yang baru berusia lima hari berada dalam kesejukan akibat kawasan rumah ditenggelami banjir.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagaimanapun bersyukur kerana bayi tersebut selamat bersama-samanya ibunya yang dalam pantang.
“Alhamdulillah, bayi kecil ini dapat dibawa ke tempat selamat hasil komitmen semua pihak termasuk penduduk setempat yang menyalurkan maklumat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pengalaman itu diceritakan beliau semasa bersama-sama Armada Bersatu dalam membantu agensi kerajaan dalam misi bantuan banjir di Sri Muda, Shah Alam sejak beberapa hari lalu.
Keadaan ibu dan bayi itu diketahui semasa beliau bersama-sama Angkatan Pertahanan Awam (APM) sedang menjalankan operasi menyelamat ketika dimaklumkan mengenai keluarga tersebut yang terperangkap.
“Ketika itu saya memikirkan bagaimana keadaan bayi itu kerana paras air yang tinggi dan ibunya pula sedang berpantang.
“Dengan kecekapan APM, bayi itu diselamatkan dan keluarganya dibawa keluar dari situ untuk diberikan rawatan.
“Ketika itu, hanya saya dan dua anggota APM yang mengendalikan bot dan barangan, jadi saya bantu membawa bayi itu. Rasa sedih sebab dia perlu melalui keadaan seperti itu ” katanya.
Situasi itu tular dalam media sosial dengan rata-rata netizen tersentuh melihat keadaan bayi itu dan ibunya ketika diselamatkan.
Sementara itu, beliau memberitahu, Armada Bersatu menggerakkan keseluruhan 2,000 ahlinya di lokasi banjir seluruh negara dengan 500 daripadanya di Selangor.
Sukarelawan ini akan membantu kerja yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menolong mangsa banjir yang terjejas teruk.
“Selebihnya bersedia membantu kerja pembersihan di kawasan terkesan. Selain Sri Muda, Armada Bersatu juga akan membantu di Hulu Langat dan beberapa kawasan di Pahang,” katanya.
Leave a Reply