Tangguh VTL

Penggantungan sementara VTL jejas ekonomi Johor:MB jumpa PM

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MENTERI Besar Johor akan mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat membincangkan keputusan kerajaan menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Ir. Mohd. Izhar Ahmad berkata, Datuk Ir. Hasni Mohammad akan menyuarakan perkara tersebut untuk dibincangkan terutama kesannya terhadap negeri itu.

Jelasnya, ekonomi Johor akan terjejas dengan keputusan terbaharu kerajaan itu yang bermula hari ini hingga 20 Januari depan.

“Walaupun tempoh penggantungan hanya selama 29 hari, keputusan tersebut tetap memberi kesan kerana sektor perniagaan di negeri ini bergantung kepada Singpura.

“Ini kerana peniaga di negeri ini telah mengeluarkan modal baharu susulan pelaksanaan VTL darat pada 29 November lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Dis lalu berhubung kejadian satu kluster tempatan Covid-19 yang melibatkan tiga kes positif termasuk kemungkinan varian Omicron.

Khairy dipetik sebagai berkata, bagi pengembara yang sudah memiliki tiket perjalanan VTL melalui darat dan udara serta memenuhi syarat yang ditetapkan, boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif berkenaan.

Pada 29 November lepas, Malaysia dan Singapura bersetuju memulakan inisiatif VTL melalui perjalanan udara dan darat antara kedua-dua negara kepada para pengembara yang menerima dos lengkap vaksin Covid-19.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *