Pengalaman mendebarkan terkandas tujuh jam dalam banjir

PENGALAMAN mendebarkan terkandas selama tujuh jam di dalam rumah yang dinaiki air separas bahu di Kampung Tanjung Kerayong di Mentakab, Temerloh, pada Selasa lalu, tidak akan dilupakan oleh Sri Hartati Mohd Rasul.

Lebih-lebih lagi, ibu, adik perempuan dan seorang jiran dengan bayinya berusia lapan bulan, turut berdepan bahaya ketika itu.

Berkongsi detik cemas itu, Sri Hartati, 23, berkata, ketika air mula memasuki rumah, mereka tiga beranak memutuskan untuk hanya berlindung di tingkat atas rumah dua tingkat itu kerana pada awalnya beranggapan, banjir tidak serius dan akan surut segera.

Kira-kira jam 4 pagi, dia mendengar suara orang di depan rumah dan bila dijenguk, jirannya yang dikenali sebagai Fitriyah, 44, datang sambil mendukung bayinya, Saffiyah, meminta tolong untuk sama-sama ‘berlindung’.

“Ketika itu, air sudah separas pinggang dan Fitriyah beritahu, dia takut kerana hanya tinggal berdua dengan bayinya di rumah, telefon bimbitnya pula rosak. Saya segera mengajaknya untuk ke tingkat atas dan sejak itu, kami bergilir-gilir memantau paras air.

“Air naik mendadak sekitar jam 5 pagi kerana semasa meninjau di tingkat bawah, air sudah mencecah paras bahu menyebabkan saya terus meminta bantuan melalui aplikasi Twitter, bimbang paras air terus meningkat,” katanya dihubungi hari ini.

Sri Hartati bersyukur kerana Fitriyah sempat mengambil keperluan anaknya termasuk susu, selain keadaan bayi itu yang tidak banyak meragam sebelum mereka diselamatkan anggota bomba jam 11 pagi Selasa lalu.

Sejurus diselamatkan, Sri Hartati yang bekerja sebagai kerani terus memadam status di Twitter berkenaan kerana tidak mahu ada pihak bimbang keselamatan mereka yang sudah diselamatkan.

“Saya berterima kasih kepada anggota penyelamat dan masyarakat yang menghubungi saya bertanyakan tentang perkembangan kami.

“Ramai yang mengucapkan rasa syukur apabila dimaklumkan kami selamat,” katanya yang pertama kali berdepan dengan situasi banjir.

Menurutnya, mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab, dan menambah, walaupun bilangan mangsa semakin bertambah sejak hari pertama dia berada di situ, mereka masih dapat makan dan tidur dengan baik.

“Malah pengurusan di PPS ini turut menyediakan susu dan lampin pakai buang untuk anak Fitriyah,” katanya. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *