Tugas sukarelawan langkaui batas bangsa, agama

SEBAGAI sebuah negara majmuk, umum mengakui masyarakat Malaysia tidak pernah sunyi daripada polemik perkauman, namun dalam soal membantu sesama manusia, rata-rata rakyat negara ini mengetepikan perbezaan bangsa dan agama.

Malah ada yang melangkah lebih jauh dengan menjadi sukarelawan yang pada kebanyakan masa membantu saudara bukan sebagai bangsa atau senegara, seperti bekas Miss Wolrd Malaysia 2008 yang juga selebriti tanah air Dr.Soo Wincci,36.

“Apa juga agama dan kepercayaan yang kita pegang, saya percaya semuanya menggalakkan kita untuk melakukan kebaikan kepada semua orang tanpa sebarang diskriminasi,” kata wanita berketurunan Tionghoa itu, menjelaskan sebab di sebalik kerja amal beliau yang kebanyakannya membabitkan masyarakat Islam.

Kerja amal Soo yang sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) keduanya di Polytechnic University of Valencia, Sepanyol, mendapat pengiktirafan Islamic Relief Malaysia (IRM), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam, yang melantik beliau sebagai Ikon Kemanusiaan IRM pada 2020.

Soo merupakan individu bukan Islam pertama yang dilantik sebagai ikon oleh IRM sejak penubuhan NGO itu pada 1984.

Ketika mengulas status beliau sebagai ikon IRM, Soo dalam temu bual menerusi e-mel kepada Bernama, berkata pelantikan itu bukan sahaja penghargaan buat dirinya,  tetapi juga menjadi contoh terbaik kepada semua untuk memberikan bantuan kemanusiaan tanpa mengira latar belakang, kaum mahupun kewarganegaraan.

“Ini adalah satu langkah yang besar bagi organisasi (IRM). Kami harap (dengan langkah ini) kami dapat membantu melangkaui batas bangsa dan agama,” katanya, menambah sepanjang penularan COVID-19, beliau menyertai kempen bantuan kemanusiaan dalam talian, dan berharap mereka dapat turun ke akar umbi apabila pandemik berakhir.

Meskipun mempunyai jadual pengajian yang padat, Soo yang memburu PhD dalam bidang Seni: Produksi dan Penyelidikan, tetap berusaha meluangkan masa untuk hadir pada setiap sesi perkongsian dan kempen mengumpul dana yang dijalankan secara maya oleh IRM.

Menurutnya, IRM kini giat menjalankan kempen Rayuan Musim Sejuk bagi membantu 272 keluarga terjejas di beberapa wilayah di Afghanistan, antaranya Kabul, Balkh, Bamyan dan Herat, selain 2,940 penerima manfaat daripada 588 keluarga di Idlib dan Aleppo, Syria.  

Kempen Rayuan Musim Sejuk yang dijalankan IRM itu menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 dan akan berakhir pada 31 Dis ini,  bertujuan membiayai pembelian bekalan pirina (sejenis bahan bakar yang diperbuat daripada buah zaitun), selimut dan pek makanan (tepung gandum, beras, minyak masak, kacang merah dan garam).

CABARAN  WAKILI NGO ISLAM

Atas dasar keprihatinan, Islamic Relief melancarkan kempen Rayuan Musim Sejuk bermula 3 November hingga 31 Disember 2021 dengan menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM300,000. www.fb.com/IslamicReliefMalaysia

Bercerita lanjut, Soo berkata pelantikannya sebagai ikon sebuah NGO Islam turut menerima pelbagai reaksi masyarakat, khususnya netizen, dengan ada yang mempertikaikan perkara itu.

“Memang banyak kedengaran suara-suara, ada yang bernada sumbang bertanya sama ada saya telah memeluk Islam. Ada juga yang mempersoalkan bagaimana seseorang yang tidak beragama Islam boleh dilantik menjadi ikon NGO Islam.

“Bagaimanapun saya tingkatkan kesabaran dan berusaha menjawab kesemua pertanyaan netizen, peminat dan bukan peminat. Saya jelaskan, ada ramai ikon beragama Islam dalam pertubuhan ini, saya hanya seorang daripada mereka,” katanya, menambah beliau juga sudah sebati dengan budaya Melayu dan ajaran Islam.

“Saya turut berpuasa sama seperti orang Islam selama 11 tahun sejak saya menyertai dunia hiburan Melayu,” sambung Soo.

Tambahnya, jika pelantikan itu berlaku 10 tahun lepas, beliau tidak akan menganggapnya sebagai sesuatu yang istimewa.

“Namun, dengan pelbagai krisis yang sedang melanda dunia sekarang, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berbuat sesuatu yang bermanfaat,” akui beliau sambil menegaskan tidak patah semangat dengan respons segelintir masyarakat terhadap pelantikannya itu.

Soo mencipta beberapa kejayaan peribadi, antaranya memegang rekod Malaysia Book of Records sebagai Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak.

Wanita itu sebelum ini menerima PhD pertamanya dalam bidang pentadbiran perniagaan daripada Open University Malaysia pada 2016.

LEBIH RAMAI IKON BUKAN ISLAM DI IRM

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IRM Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata pihaknya sedang mengenal pasti individu daripada kaum dan agama lain untuk dipertimbang sebagai ikon NGO tersebut.

“Dalam IRM, kita menggalakkan lebih ramai penyumbang yang bukan hanya terdiri daripada Melayu beragama Islam, tetapi daripada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum kerana kami memberi bantuan kepada golongan memerlukan tidak kira bangsa dan agama,” jelasnya kepada Bernama.

Zairulshahfuddin Zainal Abidin

Beliau berkata ikon yang dipilih juga merentasi pelbagai latar belakang, bukan selebriti atau pempengaruh media semata-mata, tetapi turut membabitkan aktivis kemanusiaan, antaranya Dr Aizan Sofia Amin, pensyarah kanan di Pusat Penyelidikan Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ikon-ikon Islamic Relief Malaysia (IRM) yang terdiri daripada pempengaruh dan aktivis, secara tidak langsung mereka akan memberi kefahaman tentang perkara-perkara kemanusiaan dan kebajikan kepada orang awam serta menjadi contoh terbaik kepada komuniti. fb.com/IslamicReliefMalaysia

“Antara ikon IRM lain ialah selebriti Ashraf Muslim, Irma Hasmie, Diana Amir, Chef Imelda Harris, kumpulan nasyid Saujana dan Elfaeza Ul Haq.

“Apabila kami melantik ikon-ikon yang terdiri daripada pempengaruh dan aktivis, secara tidak langsung mereka akan memberi kefahaman tentang perkara-perkara kemanusiaan dan kebajikan kepada orang awam, selain menjadi contoh terbaik kepada komuniti, sekali gus mewujudkan masyarakat prihatin terhadap kepentingan beramal tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Menurutnya, IRM, antara lain,  bermatlamat menghulurkan bantuan kecemasan selain menjalankan aktiviti advokasi yang merentasi kerakyatan, bangsa dan agama.

“Peranan kami adalah memudah cara pelaksanaan tanggungjawab sosial seperti aktiviti kebajikan dan kemanusiaan, bukan sahaja menerusi sumbangan wang ringgit tetapi juga kepakaran dan tenaga,” jelasnya.

TZU CHI PILIHAN DR ZAZALI

Dr Zazaku Mohd Yatim

Sementara itu, doktor perubatan keluarga Dr Zazali Mohd Yatim, 60, menyifatkan pertemuan tidak dirancang dengan Yayasan Tzu Chi, sebuah NGO bertonggakkan agama Buddha pada 2014, membuka matanya untuk tidak mengehadkan bantuan kepada saudara sebangsa dan seagama semata.

Segalanya bermula apabila beliau mengikuti misi bantuan kemanusiaan bersama-sama alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) ke Temerloh, Pahang semasa banjir besar pada Disember 2014.

Katanya beliau terperanjat apabila melihat sekumpulan sukarelawan bukan Islam sedang membersihkan surau di sebuah kampung terjejas. 

“Saya tengok mereka bergerak dalam satu kumpulan dengan berkemeja-T biru, berseluar dan berkasut putih sedang membuat kerja-kerja pembersihan pascabanjir di kawasan kampung itu.

“Sangkaan saya pada mulanya mungkin sukarelawan antarabangsa. Apabila saya mendekati mereka saya diberitahu mereka daripada ‘Sushi’, saya sangka ‘oh, dari Jepun’.

“Namun, apabila bertanya lebih lanjut, rupa-rupanya mereka daripada Yayasan Tzu Chi Malaysia, NGO tempatan yang berpusat di Taiwan,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tzu Chi Kepong, baru-baru ini.

Menurut Dr Zazali, beliau kemudian menyemak latar belakang NGO itu dan tidak mampu menyembunyikan rasa kagum selepas mendapati Tzu Chi dilengkapi segala keperluan bagi menjalankan misi bantuan kemanusiaan, termasuk klinik bergerak untuk etnik Rohingya di Selayang dan jentera bantuan bencana alam.

MENGAPA TIDAK TZU CHI?

Penemuan itu mencetuskan minat beliau terhadap NGO tersebut, dan menurut Dr Zazali, beliau kemudian mengunjungi klinik bergerak berkenaan sebelum mula menyumbang tenaga memberi rawatan perubatan percuma kepada etnik Rohingya di Selayang setiap bulan.

“Saya berasa gembira ketika menyumbang tenaga di Tzu Chi dan saya dapat rasakan kesamarataan dan keserasian sesama kita, sebab itulah saya membuat keputusan untuk menyertai Tzu Chi sebagai sukarelawan,” katanya.

Sebagai seorang sukarelawan Melayu beragama Islam, Dr Zazali adalah minoriti di Tzu Chi Malaysia dan keputusannya menyertai NGO itu dianggap pelik oleh masyarakat sekeliling.

Bila ditanya mengenai sebab beliau menyertai Tzu Chi, sambil tersenyum Dr Zazali berkata: “Saya sering ditanya, begitu banyak NGO yang menjalankan misi kemanusiaan, kenapa pilih Tzu Chi? Jawapan saya ialah why not (mengapa tidak)?

“Semua agama mengajar kita untuk berdisiplin, bertoleransi, hormat-menghormati dan berbelas ihsan sesama kita, dan saya percaya mana-mana NGO kebajikan turut mempratikkan perkara yang sama tanpa mengira latar belakang dan kaum,” katanya.

Cerita beliau lagi, sejak menyertai Yayasan Tzu Chi pada 2015, beliau berpeluang menjejakkan kaki di banyak negara menerusi misi kemanusiaan ke kawasan musibah, antaranya kem pelarian Syria di Istanbul, Turki dan Pursat, Kemboja. 

“(Misi ke) Pursat merupakan misi kemanusiaan pertama yang saya sertai bersama Tzu Chi untuk memberi bantuan perubatan kepada penduduk di sana yang daif dari segi infrastruktur fizikal, perubatan dan sebagainya.

“Sepanjang dua hari misi, hampir 3,000 pesakit kami rawat dan kami juga dapati mereka sangat sukakan doktor-doktor dari Malaysia.

“Keterujaan penduduk untuk mendapatkan rawatan daripada kami begitu tinggi sehinggakan kami terpaksa memujuk mereka agar datang keesokan hari kerana terlalu ramai pesakit ketika itu,” imbas beliau, menambah dua hari berkenaan amat memenatkan namun cukup memberikan kepuasan.

Dr Zazali juga tidak melihat perbezaan agama dan latar belakang sebagai penghalang, sebaliknya menganggap pengalaman yang diraih daripada perbezaan itu sebagai “ilmu di luar bilik darjah”.

“Sering kali kita hanya melihat pada perbezaan dan saling membandingkan. Namun, saya bersandarkan pada persamaan yang ada dalam ajaran Islam dan agama-agama lain,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here