Banjir:208 anggota bomba, empat balai terjejas

EMPAT balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 208 anggota dan pegawainya terjejas akibat banjir sejam Jumaat lalu.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, empat balai yang terjejas adalah di Bentong dan Mentakab di Pahang; Kota Raja, Selangor dan Sentul, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, daripada 208 anggota dan pegawai JBPM yang terkesan bencana banjir, 92 anggota adalah di Selangor, Pahang (58), Putrajaya (42), Kuala Lumpur (11), Melaka (tiga) dan masing-masing satu di Labuan serta Negeri Sembilan.

“Walaupun turut terjejas, mereka terus melaksanakan tugas dan saya nasihatkan kepada anggota untuk tidak berputus asa walaupun ada pelbagai komen mengenai pelaksanaan dalam proses menyelamat.

“Saya sentiasa memberi semangat kepada mereka dalam menghadapi situasi banjir ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan di Chenor, Maran, hari ini.

Reezal Merican sebelum ini dilaporkan berkata, seramai 4,819 anggota JBPM termasuk Pasukan Bomba Bantuan telah diatur gerak bagi kerja menyelamat dan memindahkan mangsa ke PPS di enam negeri yang terjejas banjir, susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lepas.

Selain itu, sebanyak 125 kenderaan angkut dan 214 bot diatur gerak ke kawasan banjir di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Mengulas mengenai dakwaan anggota JBPM lambat dalam proses menyelamat mangsa banjir, Reezal Merican berkata, beliau menerimanya dengan hati terbuka dan memberi semangat kepada anggota untuk tidak berputus asa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Soal marah (warganet) itu berasas atau tidak itu kemudian, anggota bomba ini sentiasa melakukan tugasan dengan baik malah ada antara mereka yang tidak tidur serta rumah mereka turut terjejas dengan banjir,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *