AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan 5.0 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Memetik laporan BH, ia membabitkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM8.9 bilion yang akan memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit ASB.
Jumlah berkenaan menjadikan angka pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB berjumlah RM168.5 bilion sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1990.
Pengerusi PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, ASB berjaya mengekalkan pengagihan pendapatan yang kompetitif, mengatasi penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan yang mencatatkan kadar pulangan sebanyak 1.85 peratus.
“Prestasi menggalakkan ini didorong oleh strategi kepelbagaian berterusan dana yang telah menjana prestasi kukuh hasil daripada pelaburan ekuiti global dengan pasaran ekuiti domestik yang lebih lemah.
“Unit dalam Edaran ASB meningkat kepada 181.2 bilion tahun ini manakala bilangan pemegang unit bertambah sebanyak 200,000 menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 10.4 juta, mencerminkan kepercayaan berterusan rakyat Malaysia terhadap dana ASB,” katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan ASB secara maya hari ini.
Yang turut serta, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
Arifin berkata, ASB mencatatkan prestasi positif di sebalik keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu, serta kemunculan varian baharu COVID-19 dan peningkatan kes baharu sepanjang tahun yang memperlahankan pemulihan ekonomi global.
“Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merekodkan prestasi -7.80 peratus setakat 22 Disember 2021. Indeks utama global pula menunjukkan prestasi lebih baik yang mana S&P 500 dan FTSE 100 masing-masing mencatat pulangan sebanyak 26.3 peratus dan 11.2 peratus.
“Kami bersyukur usaha berterusan dalam strategi kepelbagaian dan pengukuhan portfolio kami telah membuahkan hasil positif.
“Prestasi pelaburan ekuiti global yang lebih kukuh telah berjaya mengurangkan kesan pasaran domestik yang mencabar. Ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan yang mampan,” katanya.
Peruntukan pelaburan antarabangsa ASB meningkat daripada 5.9 peratus pada 2020 kepada 8.2 peratus tahun ini.
Ekuiti awam antarabangsa menyumbang sebanyak 30.7 peratus kepada pendapatan kasar pada 2021 berbanding 24.2 peratus tahun lalu.
“Alhamdulillah, pengagihan pendapatan ASB pada tahun ini kekal kompetitif hasil usaha dan dedikasi pasukan pelaburan kami. Kadar pengagihan pendapatan sebanyak lima sen seunit ini adalah 315 mata asas lebih tinggi berbanding Deposit Tetap 12-bulan yang kadar semasanya ialah 1.85 peratus,” tambah Arifin.
Jumlah akaun ASB bertambah sebanyak hampir 200,000 kepada 10.4 juta, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 7.4 bilion atau 4.3 peratus kepada 181.2 bilion unit.
Dalam sidang media selepas pengumuman pengagihan pendapatan, Ahmad Zulqarnain berkata, walaupun dalam persekitaran yang mencabar, PNB berbesar hati mendapati bilangan rakyat Malaysia yang melabur dan jumlah pelaburan turut terus meningkat.
“Kami amat menghargai kepercayaan berterusan yang diberikan oleh pemegang unit kami dan akan berusaha memenuhi mandat PNB untuk terus menjana pulangan yang mampan,” katanya.
Beliau menjelaskan, PNB telah menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan tahun 2021, mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan.
“Untuk 11 bulan pertama tahun kewangan semasa, jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB telah meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM338.4 bilion, mencerminkan kepercayaan berterusan oleh pemegang unitnya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zulqarnain berkata, dalam usaha memperkukuh strategi Focus 4 pada tahun ini, PNB telah mencapai kemajuan yang ketara dalam tiga bidang tumpuan iaitu mencipta nilai dalam prestasi portfolio domestiknya.
“PNB telah meneruskan usaha kepelbagaian ke dalam pasaran global menerusi kelas aset yang berbeza dan mempercepatkan peningkatan perkhidmatan melalui pendigitalan,” katanya.
Leave a Reply