SEORANG pekerja sebuah kedai menjual makanan haiwan di Batu 13, Hulu Langat, terpaksa berteduh di kawasan bukit lebih lapan jam menunggu banjir surut semasa bencana alam itu berlaku, Sabtu lalu.
Abdul Shafiz Saliudin, 33, berkata, ketika kejadian pada pukul 10 malam, dia berada di kedai itu sebelum air naik dengan mendadak.
“Air naik dengan cepat hinggakan dalam tempoh 15 minit, ia sudah sampai paras betis (kira-kira 0.5 meter) dan dalam tempoh satu jam, air semakin naik hingga ke paras dada (lebih satu meter).
“Keadaan itu menyebabkan saya bergegas mengambil beberapa barang penting dan meletakkannya ke dalam beg sebelum pergi naik ke atas bukit di belakang sebuah klinik di seberang jalan kira-kira 12 tengah malam,” katanya ketika ditemui di premis berkenaan, hari ini.
Abdul Shafiz bersama-sama kira-kira 30 individu lain terpaksa menunggu di kawasan bukit itu sehingga air surut.
“Kami hanya berdiri dan duduk di sana sambil memerhatikan keadaan air tanpa makan dan minum. Ada kalanya saya akan duduk di rumput apabila letih berdiri sepanjang tempoh itu.
“Apabila air mula surut, saya turun dari kawasan bukit berkenaan pada 8.30 pagi dan melihat semua makanan haiwan di dalam kedai ini diselaputi lumpur.
“Dianggarkan lebih RM50,000 kos kerugian yang ditanggung oleh majikan akibat banjir kali ini,” katanya.
Leave a Reply