Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG suri rumah kerugian RM298,500 diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Tabung Haji (LTH) dan ‘Inspektor Yong’ selepas didakwa mangsa mempunyai pinjaman dengan LTH pada bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Supritenden Amran Md. Jusin berkata, mangsa, 62, menerima satu panggilan jam 11.23 pagi, 10 November lalu daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai LTH.
“Suspek wanita yang menyamar sebagai pegawai LTH itu memaklumkan mangsa mempunyai pinjaman dengan LTH sebanyak RM12,900 yang belum diselesaikan. Mangsa kemudian menafikan ada membuat pinjaman tersebut.
“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada beberapa individu lain dan akhirnya seorang wanita memperkenalkan diri sebagai polis dengan nama ‘Chief Inspektor Yong’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, ‘Chief Inspektor Yong’ mengarahkan mangsa membuka satu akaun di sebuah bank tempatan dan mendaftarkan kemudahan perbankan internet sebelum diarahkan mengeluarkan semua wang miliknya dan suami.
Menurutnya, semua wang berkenaan kemudian diminta dimasukkan ke dalam akaun baru dibuka itu untuk tujuan siasatan dan akan dikembalikan selepas siasatan selesai.
Mangsa katanya, mengikut semua arahan tersebut antara 15 November hingga 14 Disember dengan memasukkan wang semuanya berjumlah RM298,500 ke dalam akaun yang baru dibuka itu.
“Mangsa turut memberikan kata laluan perbankan internet untuk akaun baharu itu kepada ‘Chief Inspektor Yong’. Mangsa menyedari ditipu setelah gagal menghubungi ‘Chief Inspektor Yong’.
“Semakan mangsa pada 18 Disember terhadap akaun bank yang baru dibuka itu mendapati baki dalam akaun telah tiada dan telah berlaku pengeluaran wang tanpa pengetahuan mangsa,” katanya.
Amran berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan sebat.
Polis Johor katanya, menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang tidak dikenali dan melakukan pemeriksaan terhadap kesahihan informasi dimaklumkan individu yang berkenaan.
Tambah beliau, orang ramai boleh menggunakan aplikasi semakan atas talian yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa seperti Semak Mule, CCID Scam Response Centre, CCID Infoline dan Facebook JSJK.
Leave a Reply