Suhaizan Kaiat

Speaker Johor maklumkan tiada PRK Kempas

Oleh RAHIMI MOHAMAD

PILIHAN Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas tidak perlu diadakan meskipun kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Datuk Osman Sapian meninggal dunia malam tadi.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, ketiadaan proses pemilihan itu berikutan kekosongan DUN berkenaan berlaku selepas tiga tahun Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada 2018.

Katanya, mengikut fasal 23(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor juga, PRK tidak perlu diadakan kerana tiada isu membabitkan majoriti DUN Johor dengan kelebihan satu kerusi di pihak kerajaan ketika ini.

“Kekosongan telah berlaku di DUN Kempas. Oleh kerana telah lebih tiga tahun daripada PRU terakhir dan tiada isu majoriti maka tiada keperluan mengadakan PRK di Kempas,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Suhaizan yang sedang mengerjakan ibadah umrah ketika ini turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Osman.

Bekas Menteri Besar Johor itu menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam tadi.

Jenazah Allahyarham yang dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Dato’ Onn, Larkin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Taman Mount Austin di Johor Bahru pada pukul 3.55 petang.

Pada 13 Oktober lalu, Osman diserang penyakit angin ahmar ketika berada di kediamannya di Johor Bahru sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Johor.

Beliau kemudian dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan susulan selepas tahap kesihatannya merosot.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *