Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
DUA anggota polis digantung tugas bagi membantu siasatan insiden seorang banduan lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang meloloskan diri daripada tahanan lokap di Mahkamah Majistret Tangkak pada Rabu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua anggota itu digantung tugas kerana disyaki terlibat secara langsung atas kesalahan kecuaian yang menyebabkan tahanan bernama Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, berjaya melarikan diri.
“Sebelum ini kita ada panggil empat anggota untuk soal siasat dan hasil daripada itu dua daripadanya kita tahan (gantung) kerja kerana disyaki terlibat secara lansung atas kesalahan cuai.
“Walaupun mereka ini (dua anggota polis) tidak dituduh di mahkamah, kita lihat kesalahan ini serius dan kita ambil tindakan untuk tahan kerja mereka.
“Kita akan siasat daripada segala aspek sama ada atas kecuaian ke dia bersekongkol, bersubahat ke atau pun dia menerima rasuah, kita akan lihat daripada semua yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Operasi Bersepadu Bas Ekpress, Bas Persiaran dan Lori di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) arah Utara Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Kluang, malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan suspek, Abdul Hamim meloloskan diri dari lokap mahkamah melalui pintu utama sebelum lelaki itu dibawa menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pihaknya juga telah menahan sepasang suami isteri kira-kira pukul 12.30 tengah malam Selasa di Bukit Gambir, Muar kerana dipercayai terlibat melindungi suspek selepas dia berjaya meloloskan diri.
“Kita masih lagi mengesan Long Tiger ini yang mana kita percaya masih berada dalam kawasan Bukit Gambir, Muar dan sekitarnya.
“Kita juga telah menahan sepasang suami isteri warga tempatan masing-masingnya berusia 41 dan 43 tahun kerana disyaki mengetahui serta bersubahat melindungi suspek ini.
“Jadi, saya ingin menyeru kepada orang awam untuk jangan sesekali melindungi suspek ini kerana dia sedang diburu, jika kita dapat maklumat ada yang buat juga kita akan ambil tindakan,” katanya.
Kedua suspek telah direman selama empat hari bermula 21 Disember untuk membantu siasatan.
Leave a Reply