Oleh RAHIMI MOHAMAD
SEORANG anggota polis yang sedang bertugas cedera selepas sebuah bas ekspres melanggar khemah sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 52.0 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 10.30 malam melibatkan bas ekspres dipandu seorang lelaki yang membawa 26 penumpang.
“Bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Larkin, Johor Bahru menuju ke Kuala Terengganu melibatkan 26 penumpang terdiri daripada 12 lelaki dan sembilan wanita dewasa serta tiga kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki.
“Semasa sampai di SJR tersebut tiba-tiba pintu penyimpanan tayar simpanan bahagian belakang sebelah kanan telah terbuka dan terkena khemah SJR yang berada di tengah-tengah jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semasa kejadian anggota yang sedang bertugas berada di bawah khemah berkenaan dan seorang daripadanya cedera.
Jelasnya, anggota yang cedera itu berpangkat Koperal dan berusia 30 tahun, mengalami bengkak di bahagian belakang badan sebelum dihantar dengan ambulans ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemandu bas ekspres berusia 50 tahun dan kelindannya termasuk semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Pihaknya kemudian melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas ekspres tersebut namun keputusannya negatif daripada sebarang pengaruh dadah selain tidak memiliki sebarang rekod jenayah.
Menurutnya, suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan RM10,000 hingga RM15,000 bagi sabitan seterusnya.
Leave a Reply