SEEKOR ikan paus betina dewasa dianggarkan seberat 400 kilogram yang mengalami kecederaan kecil pada bahagian badan, ditemukan terdampar di hadapan sebuah tempat peranginan di Pantai Merchang dekat Gong Balai, di sini pagi tadi.
Ketua Cawangan Mamalia Marin, Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Muhammad Amirul Siddiq Abd Rashid berkata mamalia jenis ‘Pygmy Sperm Whale’ berukuran tiga meter itu dijumpai pada pukul 9 pagi oleh orang awam yang berada di tempat peranginan berkenaan.
“Pasukan FRI Rantau Abang menerima aduan pada 12 tengah hari tadi dan bergegas ke lokasi. FRI Rantau Abang melakukan proses menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
“Bagaimanapun usaha menyelamat tidak berjaya kerana ikan paus tersebut terlalu lemah. Usaha menyelamat dihentikan selepas mendapati haiwan itu telah mati. Karkas (bangkai) haiwan tersebut telah dibawa balik ke FRI Rantau Abang dan bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya akan dilakukan esok,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Muhammad Amirul Siddiq menambah ‘Pygmy Sperm Whale’ merupakan antara paus yang terkecil di dunia dengan paus dewasa daripada spesies ini berukuran maksimum 3.5 meter.
“Ikan paus yang dijumpai hari ini berukuran tiga meter jadi ia adalah paus ‘Pygmy Sperm Whale’ dewasa kerana anak ikan paus spesies ini hanya berukuran 2.1 meter ke bawah,” katanya.
Sementara itu pemilik tempat peranginan itu, Abd Latif Jamaludin berkata beliau menerima makluman daripada kakitangannya mengenai penemuan haiwan berkenaan pada 10 pagi dan bergegas ke lokasi tersebut untuk memastikan kesahihannya.
“Ketika saya tiba, ikan paus itu masih hidup kerana matanya berkelip, namun keadaan fizikalnya sangat lemah. Kami menghubungi FRI Rantau Abang dan mereka bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan ikan paus tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abd Latif berkata beliau dan beberapa kakitangan, pengunjung serta orang kampung cuba menolak haiwan itu untuk kembali ke arah laut namun ia terlalu lemah untuk berenang jauh dan kembali terdampar di pantai.
“Ketika kakitangan Jabatan Perikanan tiba, cubaan untuk menolak haiwan marin itu kembali dilakukan namun masih gagal. Kami seterusnya membantu kakitangan Jabatan Perikanan menggunakan pengusung untuk mengangkat ikan paus itu menaiki kenderaan FRI Rantau Abang,” katanya.
Beliau berkata penemuan itu adalah kali kedua kerana pada 2017, pernah menemukan bangkai paus di lokasi sama.
— BERNAMA
Leave a Reply