Sultan Johor

Sultan Ibrahim cadang guna sistem radar di perairan negara-Hamzah

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima mengadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Johor Bahrus hari ini dalam pertemuan yang berlangsung hampir dua jam.

Menerusi pertemuan itu, Sutlan Johor berbincang bersama-sama Datuk Seri Hamzah dan memaklumkan bahawa baginda amat menitikberatkan berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara.

Sultan Ibrahim bertitah, kedaulatan dan keselamatan negara perlu sentiasa diberi keutamaan dengan mempertingkatkan kawalan di pintu masuk utama serta sempadan negara.

“Saya membincangkan mengenai Pulau Pisang, Pulau Batu Puteh dan juga Tompok Utara, di mana kawalan keselamatan khususnya di sempadan negara serta pintu-pintu masuk utama perlu dipertingkatkan,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

Sementara itu, Hamzah berkata, kawalan sempadan negara sentiasa menjadi teras utama Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara sentiasa terpelihara.

“Baginda juga amat menitikberatkan perkara ini dan Baginda juga berkenan menyampaikan nasihat untuk memperketatkan kawalan sempadan supaya ia tidak mudah dicerobohi.

“Sultan Johor turut menzahirkan rasa sedih dengan tragedi bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) hingga mengorbankan banyak nyawa berlaku di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, baru-baru ini,” katanya.

Hamzah berkata, Sultan Johor juga berkenan mencadangkan beberapa perkara bagi memperketatkan perundangan negara khususnya perkara berkaitan prosedur kapal-kapal berlabuh di perairan negara.

“Terdapat juga banyak kapal-kapal berlabuh diperairan negara khususnya di kawasan Desaru dan Baginda juga amat menitikberatkan keselamatan nelayan-nelayan tempatan terutama ketika laut bergelora.

“Begitu juga cadangan baginda, supaya dilengkapi satu struktur keselamatan termasuk sistem radar di perairan negara bagi mengesan kemasukan penceroboh. Kesemua perkara ini akan saya memberi perhatian,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *