Selepas seminggu bernikah suami dijemput Ilahi

ISTERI kepada Allahyarham Muhamad Syafiq Saharuddin, 26, yang lemas di tali air berhampiran Desa Salak Pekerti, Kampung Labu Lanjut, semalam, berkata, sebelum meninggal suaminya mahu dia meletakkan gambar mereka bernikah sebagai ‘wallpaper’ pada telefonnya.

“Arwah suami meminta saya meletakkan gambar kami bernikah sebagai ‘wallpaper’ telefon ketika menghantar saya ke tempat kerja, Sabtu lalu, sebelum hilang pada petang itu,” kata Siti Haida Aliza, 26, isteri kepada Allahyarham Muhamad Syafiq.

Kata Siti Haida lagi, pada pagi itu Allahyarham suaminya menghantar dia ke tempat kerja di Nilai, Negeri Sembilan dan selepas itu bertolak ke Batang Kali, Selangor untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan.

Dia tidak menyangka hasrat suaminya menjadikan gambar pernikahan mereka sebagai ‘wallpaper’ bertujuan mengabdikan kenangan mereka berdua buat selama-lamanya.

Katanya, kejadian ini sangat meruntun jiwanya kerana mereka berdua baru seminggu bernikah selepas lapan tahun menjalin persahabatan.

“Selepas bernikah pada 12 Disember lalu, arwah mengambil cuti sehingga majlis persandingan kerana memaklumkan ingin menghabiskan masa dengan saya sepanjang cuti di rumah sewa di Kampung Baru Lanjut.

“Pada petang sebelum kejadian, arwah ada menghubungi saya memaklumkan rumah sewa kami dinaiki air dan tidak menyangka air naik tinggi.

“Saya beritahu arwah supaya mengambil barangan dan pakaian persandingan dan tidak menyangka air naik tinggi,” katanya ditemui selepas upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanjut selepas Zuhur, hari ini.

Menurutnya, berita kehilangan Allahyarham dimaklumkan oleh rakan, namun dia mengambil sikap positif bahawa suaminya selamat dan tidak dapat dihubungi sepanjang malam kerana masalah cuaca.

“Malam itu saya balik ke rumah ibu bapa di Nilai kerana esok (Ahad) akan mengadakan majlis kahwin di Senawang.

“Sepanjang malam saya cuba menghubungi arwah namun gagal dan sepanjang malam tidak dapat melelapkan mata memikirkan keselamatan dia.

“Pagi bersiap untuk ke tempat majlis perkahwinan ahli keluarga memaklumkan mayat arwah dijumpai lemas dan ketika itu hanya Allah saja yang tahu perasaan ketika ingin meraikan majlis bersejarah hidup kami,” katanya.

Siti Haida berkata, dia reda dengan ketentuan Allah walaupun baru seminggu melangsungkan perkahwinan.

Jenazah Muhamad Syafiq disembahyangkan di Masjid Kampung Lanjut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanjut selepas Zuhur yang turut dihadiri ibu arwah, Fatimah Taib, 53, dan bapanya, Saharuddin Mat, 53.

Sementara itu, Saharuddin berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya arwah pada petang Jumaat dan tidak sempat bersembang kerana mempunyai urusan lain.

Menurutnya, dua hari sebelum meninggal dunia, anaknya menghadiahkan al-Quran terjemahan dan dia gembira kerana sudah lama mahu memilikinya.

“Sebelum ini arwah kelihatan sangat gembira kerana cita-citanya untuk berumahtangga dengan gadis pilihannya tercapai dan saya reda dengan pemergiannya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *