PANGLIMA Angkatan Tentera, Affendi Buang mengingatkan mana-mana pihak sekrang bukan masa untuk menuding jari sehingga mengganggu dan menjejaskan usaha menyelamat serta memindahkan mangsa banjir.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) katanya, mengutamakan keselamatan rakyat khasnya mangsa banjir untuk memastikan sebarang usaha membabitkan pengurusan bencana dikoordinasi secara tersusun dan berkesan.
“Apa yang penting di sini adalah kerjasama padu antara satu sama lain dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.
“Sebarang usaha yang dilaksanakan adalah berdasarkan konsep ‘Whole Of Government Approach’ bagi memastikan setiap agensi terlibat yang dikoordinasikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapat digembleng secara bersama dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Affendi berkata, setiap agensi perlu bekerjasama mencari jalan penyelesaian untuk menambah baik operasi dan kekurangan dalam aspek pengurusan banjir.
“ATM sentiasa komited melaksanakan tugas sekundernya, terutama membantu pihak berkuasa awam yang dikoordinasikan NADMA dalam menyelamatkan mangsa terkesan akibat bencana banjir, terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.”
Pada masa sama, katanya, mangsa banjir yang terlibat juga diharapkan dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan demi kelancaran operasi, kesejahteraan dan keselamatan semua.
Terdahulu, sumber berkata, pasukan tentera membantu memindahkan mangsa banjir tanpa menunggu arahan NADMA, dengan mula bergerak ke kawasan terjejas selepas solat Jumaat.
Leave a Reply