TEMPOH 24 jam tanpa hujan lebat di beberapa negeri sedikit memberikan kelegaan dan kegembiraan buat mangsa terjejas dengan banjir yang telah memasuki hari ketiga.
Namun keadaan cuaca panas itu yang membolehkan keadaan air di beberapa kawasan mulai surut, turut membawa berita duka buat negara apabila terdapat angka korban akibat bencana telah direkodkan.
Lapan mayat ditemukan di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang manakala empat lagi dilapor masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong.
Penemuan mayat itu menjadikan 14 orang terkoban dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri, dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata di Selangor selain kematian akibat banjir itu direkodkan di Shah Alam dengan empat kematian, di daerah Kajang merekodkan dua kematian dan masing-masing satu di Sungai Buloh dan Sepang.
Satu mayat lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mangsa lemas pertama ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam pada 7.50 malam semalam.
Penemuan mayat bagaimanapun tidak terhenti di situ apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiga lagi mangsa lemas ditemukan maut dalam insiden banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kesemua mayat lelaki dengan dua daripadanya ditemukan pada 1 pagi sementara satu lagi mayat ditemukan pada 5 pagi tadi oleh orang awam dan pihak bomba ketika kerja-kerja penyelamatan sedang dilakukan dan kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata dua mayat lelaki ditemukan di Dengkil dan satu mayat lelaki ditemukan di Sepang hari ini, sementara satu mayat lelaki ditemukan di Desa Coalfields, Kuala Selangor semalam.
Selain itu, beberapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka dilaporkan berlaku di kawasan Taman Sri Muda yang sedang mengalami banjir teruk dipercayai berlaku sekitar 1 tengah hari hingga 2 petang dan ia disahkan Baharudin kepada Bernama.
Di PAHANG pula, operator kilang M.Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir di negeri itu setelah ditemukan maut pada 2.22 petang Jumaat (17 Dis) kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat jatuh semasa meredah banjir di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina di Gambang.
Korban kedua direkodkan membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada 1 pagi semalam, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.
Dalam pada itu, tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, di sini, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini yang memulakan operasi bermula 9 pagi di kawasan mereka dilapor hilang.
Mayat lelaki ditemukan pada 1 tengah hari tadi manakala mayat tiga wanita ditemukan pada 1.20 tengah hari, 2 petang dan 4.23 petang, kira-kira dua hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilapor hanyut di kawasan sungai di kampung itu.
Di PERAK, meskipun cuaca diramal baik sehingga pagi ini di kebanyakan tempat namun pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan khasnya di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Di TERENGGANU, kebanyakan paras air di sungai-sungai utama di negeri ini berada di paras normal kecuali di stesen bacaan Sungai Kemaman di rumah pam Paya Paman yang merekodkan ketinggian 4.45 meter (m) mengatasi paras bahaya 4m.
Di KUALA LUMPUR, Seramai 371 mangsa banjir di ibu negara masih ditempatkan di tiga PPS yang dibuka serta keadaan baik hari ini menyaksikan 10 jalan yang sebelum ini ditutup akibat ditenggelami air, telah kembali dibuka.
Di KELANTAN, empat sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.67 meter (m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (25.10m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.29m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.19m).
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu yang ditempatkan di PPS semakin menurun susulan keadaan cuaca baik hari ini.- Bernama
Leave a Reply