Akui kelemahan, urus banjir akan ditambah baik, tanggungjawab bersama – PM
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir terutamanya di Selangor dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Beliau berkata tanggungjawab pengurusan bencana banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan pihak berkaitan setiap daerah memainkan peranan penting.
“Saya tidak menafikan (kelemahan) dan akan menambah baik pada masa akan datang… Tanggungjawab banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan frontliners adalah daerah-daerah.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya koordinator… kalau dianggap kelemahan koordinasi saya tidak membela sesiapa dalam keadaan begini, bagi saya semua perlu dipertanggungjawabkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Besar D’Sury di Jelebu.
Sementara itu, Perdana Menteri mahu kerja-kerja pembaikan jalan raya akibat tanah runtuh di Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan dilakukan dengan cepat bagi membolehkan akses jalan raya dapat dilalui antara Seremban-Jelebu.
Menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook, beliau berkata kerja-kerja pembaikan sedang dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan aktiviti harian rakyat tidak terganggu.
“Jalan utama ini digunakan oleh ramai rakyat untuk ke bandar utama. Kita tidak mahu aktiviti harian rakyat tersekat,” kata Perdana Menteri yang turun meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Bukit Tangga, Jelebu, yang merupakan lokasi pertamanya dalam lawatan ke negeri itu.
Pada Ahad lepas, media melaporkan berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Tangga menghala Jelebu, susulan hujan lebat. – BERNAMA
Leave a Reply