TIGA mayat, dipercayai korban banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam ditemukan awal pagi tadi.
Kesemua mayat itu ditemukan orang awam dan bomba ketika kerja-kerja penyelamatan sedang dilakukan.
Dua ditemukan pada 1 pagi manakala seorang pada 5 pagi.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib yang mengesahkan penemuan mayat itu berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.
“Kesemuanya lelaki termasuk satu semalam di Seksyen 22 Shah Alam. Setakat ini, dua daripada tiga korban yang ditemui di Sri Muda dipercayai warga tempatan manakala seorang warga asing dan kita mempunyai kekuatan 120 anggota daripada Pasukan Gerakan Am dan VAT 69.
“Menerusi elemen Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, kita berjaya keluarkan lebih 200 mangsa di Seksyen 23, 24 dan 25,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, seramai 70 mangsa banjir yang terkandas dalam bencana banjir besar dekat Taman Sri Muda, Shah Alam berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota 69 Komando.
Menurut laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut terlibat dalam operasi tengah malam tadi ialah “Tiger Platoon” Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Operasi mencari dan menyelamat oleh 69 Komando serta “Tiger Platoon” itu menggunakan empat buah bot kecil yang terdiri daripada dua bot PAC dan dua bot “rubber dinghy”.
“Selain menyelamatkan orang ramai, pasukan 69 Komando dan “Tiger Platoon” PDRM turut mengagihkan bekalan makanan buat mangsa-mangsa banjir yang terlibat,” kata hantaran itu.
Leave a Reply