Pindah mangsa ke PPS secepat mungkin fokus Tentera Darat – Hishammuddin

ANGGOTA-anggota tentera digerakkan ke semua kawasan banjir sejak tiga hari lepas bagi membantu mangsa-mangsa.

Hari ini  pasukan tentera tiba di Klang Utama untuk membantu mangsa banjir selepas beberapa hari terkandas akibat hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu yang menyaksikan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dalam catatan di Twitter, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mengesahkan anggota tentera akan bekerjasama dengan kakitangannya untuk membantu penduduk terjejas.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, beliau sudah memberi taklimat kepada Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Mohd Zakaria Yadi mengenai situasi di Klang.

“Terima kasih, Datuk Seri atas maklum balas pantas. Ya, saya telah bercakap dengan Datuk Mohd Zakaria malam tadi. Pagi ini tentera berada di Klang Utama untuk memulakan operasi dan bekerja dengan kakitangan saya. Kita perlu memberikan sokongan kepada Sri Muda sebaik sahaja kerja di sini selesai,” balas Santiago di Twitter.

Sementara Hishammuddin dalam Facebooknya memaklumkan, fokus anggota Tentera Darat Malaysia ialah untuk pastikan kesemua mangsa yang terkandas dapat dipindahkan secepat mungkin ke PPS.

‘’Alhamdulillah, ramai yang telah dapat dipindahkan sejak semalam (Sabtu) dan usaha ini masih giat dilaksanakan – dalam apa jua keadaan, keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *