Azman Mokhtar dilantik Pengerusi baharu Tabung Haji

BEKAS Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Azman Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) berkuat kuasa hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, Azman mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat.

Katanya, selain Khazanah Nasional beliau pernah dilantik Pengerusi Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam (INCEIF) dan Pengerusi Axiata Group Berhad.

Selain itu, beliau juga terlibat dalam majlis kebangsaan seperti Majlis Pemulihan Negara, Majlis Kemakmuran Bumiputera dan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama.

“Beliau juga merupakan felo pelawat terhormat Pusat Pengajian Pembangunan Universiti Cambridge dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTM,” katanya dalam kenyataan.

Idris berkata, pelantikan Azman tertakluk di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), dengan beliau dan Lembaga TH akan bertanggungjawab untuk mentadbir perkara berkenaan dengan urusan jemaah haji.

“Beliau juga bertanggungjawab ke atas tadbir urus korporat termasuk hala tuju pembangunan strategik TH.

“Saya mengucapkan tahniah kepada beliau di atas pelantikan ini. Semoga Allah SWT sentiasa memandu setiap gerak kerja yang dilakukan,” katanya.

Azman dilahirkan pada 23 Jan 1961 di Melaka, kemudian mendapat pendidikan tinggi peringkat Diploma Siswazah dalam Kajian Islam (UIA) dan Kursus Sarjana Falsafah dalam Kajian Pembangunan (Kolej Darwin, Universiti Cambridge United Kingdom) melalui biasiswa Chevening.

Azman juga adalah felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), United Kingdom, serta ahli profesional Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA).

Antara 1994 dan 1998, beliau merupakan Pengarah dan Ketua Penyelidikan untuk Union Bank of Switzerland di Malaysia sebelum menjadi Ketua Penyelidikan di Salomon Smith Barney yang berpusat di Malaysia antara 1998 hingga 2002.

Beliau kemudian menjadi Pengarah Urusan BinaFikir Sdn Bhd sehingga Mei 2004 sebelum menyertai Khazanah Nasional.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *