penduduk bimbang

Terperangkap sejak Jumaat, penduduk bimbang putus bekalan

PENDUDUK Taman Klang Utama, Taman Cempaka Sari dan Bukit Raja di Klang kini berada dalam keadaan cemas dan bimbang akibat terperangkap dalam banjir kilat sejak Jumaat lalu.

Menurut seorang penduduk, mereka amat memerlukan barangan keperluan asas seperti lampin bayi, pakaian kanak-kanak dan dewasa serta makanan dengan segera.

“Kami harap pihak yang berkenaan dapat menyalurkan bantuan dengan segera kerana kini sudah dua hari kami terperangkap.

“Ada penduduk yang bimbang dengan keadaan mereka yang serba kekurangan kerana tidak membuat sebarang persediaan menghadapi bencana banjir,” katanya, hari ini.

Difahamkan, sebahagian penduduk di kawasan-kawasan berkenaan telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan namun keadaan di situ agak sesak manakala bantuan masih belum tiba.

Sejumlah penduduk dikatakan masih terperangkap di tingkat atas rumah masing-masing dan sedang menunggu bantuan makanan dan keperluan asas.

Mereka memahami masalah yang dihadapi pasukan menyelamat untuk memasuki lokasi yang dilanda banjir kilat.

Ada dalam kalangan penduduk yang menggunakan media sosial sebagai salah satu kaedah bagi meminta bantuan dalam situasi getir ini.

Warta Rakyat turut dimaklumkan, situasi serupa dihadapi di Taman Sri Muda, Shah Alam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *