SUASANA pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam hari ini apabila lapan van jenazah memasuki pekarangannya membawa sembilan sekeluarga yang maut dalam kemalangan malam kelmarin berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya ELITE.
Dapat dilihat lapan buah van jenazah yang dipandu petugas kesihatan lengkap mengenakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) diiringi anggota polis, tiba di pintu pagar utama tanah perkuburan itu pada pukul 12.40 tengah hari.
Jenazah selesai dikebumikan pukul 1.30 petang dalam satu liang lahad atas permintaan keluarga setelah menjalani bedah siasat dan pemeriksaan saringan Covid-19, serta disolatkan di Unit Forensik Hospital Shah Alam.
Ibu mereka Allahyarham Norul Naziah Buyong, 37, dikebumikan bersama-sama lapan anaknya iaitu Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.
Adik kepada Norul Naziah, Nurul Atika Buyong, 33, berkata, lima anak arwah bebas Covid-19 manakala empat anak termasuk bayi berusia 10 bulan, didapati positif Covid-19.
Kesemua mereka yang menaiki Proton Wira itu, maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Shah Alam.
Bapa kepada kanak-kanak dan remaja yang maut itu, Abd. Razak Majit, 50, cedera ringan, manakala mereka yang menaiki sebuah lagi kereta iaitu Mimie Nafiesa Abdullah, 19; Ihyat Sufi Shokip serta Ummi Nasuha Annuwar masing-masing berusia 20 tahun juga cedera ringan.
Turut terbunuh dalam kemalangan yang mengorbankan 10 nyawa itu adalah seorang mekanik, Mohamad Rahimi Rolex, 27, dikebumikan di tanah perkuburan sama, kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Keluarga malang itu dikatakan dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke rumah mereka di Padang Jawa, Klang.
Leave a Reply