Segerakan perbicaraan kes berprofil tinggi – Muhyiddin

BERSATU menggesa agar proses perbicaraan kes-kes berprofil tinggi di negara ini disegerakan agar tidak memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebebasan badan kehakiman sebagai penegak keadilan di negara ini mestilah terus dipertahankan tanpa campur tangan mana-mana pihak terutamanya dalam kes-kes berprofil tinggi.

Menurut beliau, peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kuasa dan had-had kuasa semua cabang utama kerajaan hendaklah dihormati dan dipatuhi demi memastikan negara kita ditadbir berasaskan kedaulatan undang-undang.

“Bersatu juga akan terus mendokong prinsip pengasingan kuasa antara cabang-cabang kerajaan iaitu badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman sepertimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Keempat di Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengingatkan bahawa kleptokrasi boleh kembali bermaharajalela jika semua pihak lemah dan leka.

Muhyiddin menambah, kejayaan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memimpin atas prinsip integriti dan prihatin rakyat telah dikhianati oleh kumpulan kleptokrat.

“Jaga-jaga, kleptokrasi boleh kembali bermaharajalela sekiranya kita lemah dan leka, na’uzubillahi min zalik.

“Kita tahu kumpulan ini masih cuba melakukan pelbagai tipu daya dan muslihat untuk kembali berkuasa. Mereka sedang menunggu tibanya masa pilihan raya untuk melaksanakan perancangan mereka,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Bersatu adalah parti yang istiqamah mempertahankan prinsip integriti dan amanah demi kebajikan rakyat.

Muhyiddin memberitahu, Bersatu adalah parti yang meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi, patuh kepada undang-undang dan perlembagaan serta beradab dan bertata susila.

“Ini adalah nilai-nilai utama yang dipegang oleh masyarakat kita. Nilai-nilai ini adalah nilai universal yang kekal abadi di jiwa sanubari insan yang merdeka dan bermaruah.

“Saya yakin dan percaya, parti kita yang terbukti berpegang teguh dengan nilai-nilai ini akan terus relevan dan mendapat dokongan rakyat untuk masa kini dan masa depan. Insya-Allah, dengan dokongan rakyat ini parti kita akan beroleh kemenangan dalam pilihanraya akan datang,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *