SEBUAH rumah di Kampung Bandar Tinggi, Jelebu hilang selepas dihanyutkan banjir dalam kejadian pada pukul 3 pagi tadi.
Semasa kejadian terdapat enam individu berada di lokasi iaitu pasangan suami isteri, Fadilah Itam, 53, dan suaminya Ibrahim Taib, 62, bersama-sama dua anak lelaki berusia 29 dan 22 tahun serta dua cucu perempuanya berusia 10 dan 12.
Fadilah berkata, hujan berterusan sejak pukul 3 petang semalam menyebabkan kediaman mereka berhampiran Sungai Triang ditenggelami air.
“Hujan mulai lebat pukul 6 petang dan kami mengambil keputusan untuk berpindah termasuk membawa 15 ekor kucing peliharaan di kawasan selamat berdekatan sebuah kedai membasuh kenderaan berhampiran rumah yang kedudukannya lebih tinggi.
“Kami berada di kedai berkenaan untuk menunggu air surut namun pukul 3 pagi suami dan seorang anak memaklumkan bahawa rumah kami sudah terangkat dan dihanyutkan banjir,” katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.
Katanya, disebabkan kejadian itu kesemua barangan termasuk perkakas elektrik dan perabot rosak serta tidak dapat diselamatkam.
“Ketika ini kami sekeluarga akan tinggal sementara di sebuah rumah di Taman Undang Abdullah. Saya trauma sebab dalam tempoh 35 tahun tinggal di sini rumah hilang sekelip mata,” katanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata, dua tabung wang miliknya ditemui semula dan satu daripadanya masih berada dalam keadaan baik manakala satu lagi rosak.
“Pagi tadi saya pergi semula ke tapak rumah dan melihat atap rumah kami berada di tepi jalan, kebanyakan barangan sudah rosak dan tiada apa yang tinggal,” katanya.
Leave a Reply