Doktor kayuh basikal redah banjir demi pesakitnya

HUJAN lebat dan disusuli banjir tidak langsung mematahkan semangat seorang doktor untuk melakukan pemeriksaan terhadap pesakitnya.

Dr. Shathiskumar Govindaraju, sanggup meredah banjir menggunakan basikal walaupun menyedari tindakan itu cukup bahaya selepas terserempak dengan ular dan biawak, dalam perjalanan ke hospital termasuk melawat pesakitnya, semalam.

Beliau yang juga pakar kardiologi mahu melakukan pemeriksaan terhadap dua pesakitnya yang ditempatkan di unit rawatan rapi dan seorang lagi pesakit jantung di Pusat Perubatan Bukit Tinggi, Klang, di mana tempatnya bertugas.

“Isteri saya memberitahu saya untuk menunggu dulu sehingga petang sebelum ke hospital kerana banjir dan hujan lebat, dan katanya biarkan jururawat saja menjaga pesakit itu buat sementara.

“Namun, saya mendapati hujan seperti tidak akan reda dan paras air semakin meninggi, jadi saya tidak mahu lagi menunggu lama.

“Saya tidak dapat memandu pacuan empat roda (4WD) kerana kenderaan itu sudah separuh ditenggelami air. Jadi, saya ambil keputusan naik basikal sahaja,” kata doktor berusia 40 tahun itu seperti dilaporkan FMT.

Shathiskumar berkata, pengalaman meredah banjir menggunakan basikal pasti sukar dilupakan kerana beliau tidak pernah menempuh pengalaman seumpama itu sebelum ini dalam kerjayanya.

“Ia pengalaman menakutkan kerana terserempak dengan beberapa ular dan biawak dan saya kena pastikan tidak berada berdekatan dengan haiwan terbabit.

“Ada dua tasik berdekatan dan saya melihat beberapa ular dan biawak di sana. Tetapi, melihat haiwan itu di tasik dan melihat sendiri haiwan itu menelusuri banjir adalah dua pengalaman berbeza sama sekali.

“Syukur, haiwan yang berada berdekatan dengan saya adalah lipan saja,” katanya.

Walaupun berdepan kemusnahan disebabkan banjir, Shathiskuma turut menerima ihsan daripada orang tidak dikenali.

Dua orang budiman menawarkannya pengangkutan, di mana situasi pertama dalam pertengahan jalan ke hospital, manakala situasi kedua dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Saya melihat orang tidak dikenali sudah menghulurkan bantuan. Dalam situasi normal, kita mungkin tidak bercakap pun kalau berjumpa.

“Kebiasaannya, saya mengambil masa tujuh minit sahaja untuk sampai ke hospital dari rumah, namun semalam ia mengambil masa setengah jam kerana terpaksa berhati-hati meredah banjir.

“Jadi, saya bernasib baik orang yang tidak dikenali ini sanggup menumpangkan saya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *