Cuaca buruk jadikan op carilamat mangsa sukar

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CUACA yang diramalkan buruk menyukarkan pencarian 16 mangsa yang masih hilang pada hari ini susulan tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi Rabu lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, Op Carilamat yang memasuki hari kelima dengan tiada penemuan mangsa baharu sehingga pukul 8 pagi ini.

Katanya, kelajuan angin dianggarkan 40 hingga 50 kilometer sejam, selain ombak pula setinggi 2.5 meter (m) hingga 3.5 m serta ribut petir di beberapa tempat.

“Pencarian diteruskan menggunakan empat aset laut dengan keluasan sektor pencarian seluas 111 batu nautika persegi, manakala helikopter AW139 APMM akan melaksanakan pencarian udara meliputi sektor carian seluas 76.50 batu nautika persegi.

“Misi pencarian di pesisir pantai diteruskan petugas APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia meliputi Tanjung Siang hingga ke Sungai Musuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 61 petugas daripada pelbagai agensi terbabit pencarian di udara, laut dan darat.

Sebelum ini media melaporkan dalam kejadian pada awal pagi Rabu lalu, bot pancung yang membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Lombok dan transit di Batam, karam dibadai ombak dalam kejadian di perairan Tanjung Balau.

Sehingga kini, jumlah mangsa yang ditemui adalah seramai 34 orang iaitu 21 meninggal dunia, 13 selamat manakala 16 lagi disyaki masih hilang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *