SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan banjir terburuk yang sedang melanda sebahagian besar daerah di negeri itu.
Menurut satu kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda dimaklumkan banyak lokasi yang terjejas dan terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air serta kawasan-kawasan kediaman yang dilanda banjir luar biasa sehingga kini.
Selain itu, kenyataan itu turut memaklumkan, baginda menyaksikan sendiri gambar-gambar dan video-video kawasan terjejas dan risau serta bimbang dengan kesukaran yang sedang dihadapi rakyat jelata.
“Bagaimanapun, baginda terharu melihat semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli masyarakat dan kumpulan-kumpulan sokongan yang saling bantu membantu antara satu sama lain ketika berdepan keadaan amat meruncing.
“Baginda dengan tegas mahu pihak berkuasa yang bertanggungjawab agar menyegerakan bantuan ke seluruh pelusuk kawasan yang terjejas,” menurut kenyataan itu lagi.
Selangor Royal Office berkata, baginda juga telah menitahkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menghulurkan bantuan ke pusat-pusat penempatan sementara banjir dan mengenal pasti situasi rakyat yang kritikal.
Selain itu, Sultan Selangor juga menyeru pelan tindakan yang lebih komprehensif dikemas kini khususnya apabila berhadapan dengan fenomena bencana banjir luar jangkaan seperti.
Ini bagi memastikan respons pantas dapat diambil, serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.
“Baginda berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar bencana banjir ini segera berakhir dan semua urusan rakyat jelata dipermudah serta kembali seperti sedia kala,” menurut kenyataan itu lagi.
Leave a Reply