Banjir: Cuti kecemasan untuk kakitangan awam, bantuan RM1,000

KERAJAAN bersetuju untuk memberi cuti kecemasan kepada penjawat awam yang terjejas akibat banjir.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan peruntukan awal RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain di mana setiap ketua isi rumah terjejas banjir akan menerima sumbangan RM1,000.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media, hari ini, susulan krisis banjir yang melanda kebanyakan kawasan di negara ini sejak beberapa hari lalu.

“Saya juga menyeru kepada majikan-majikan swasta supaya memberi cuti kecemasan kepada pekerja mereka yang terkesan akibat banjir.

“Jika mereka setuju beri, dua perkara yang kita syaratkan adalah tidak boleh ditolak cuti tahunan dan tidak boleh potong gaji… tapi cuti berbayar,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri meminta majikan-majikan swasta membuat pertimbangan itu dari segi kemanusiaan terhadap pekerja yang terkesan akibat banjir.

“Kita mengesyorkan. Dari segi perundangan, saya tak pasti… saya rasa tak ada undang-undang yang memaksa majikan untuk memberi cuti kepada pekerja (akibat banjir) tapi daripada segi kemanusiaan.

“Sebab kalau duduk di pusat pemindahan sehelai sepinggang tinggal macam mana nak pergi bekerja? Anak kecil pun ada di situ. Jadi dari segi keadilan, saya minta majikan swasta memberi cuti tanpa pemotongan gaji dan tanpa memotong cuti tahunan pekerja mereka yang terlibat,” katanya. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *