Azam media Ahmad Faizal Azumu

Tuding jari, jadi VIP, kurang dekati pengundi punca Bersatu kalah PRN Melaka

TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DatuK Seri Ahmad Faizal Azumu mendedahkan, suka menuding jari, suka jadi ‘VIP’ dan kurang dekati pengundi antara punca Perikatan Nasional (PN) kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu.

Bagaimanapun beliau menolak desakan sesetengah pihak mahukan parti itu dibubarkan kerana kekalahan di Melaka selepas tewas 26 daripada 28 kerusi pada PRN tersebut.

“Kita terima hakikat, banyak yang kita perlu tambah baik. Tetapi, ada yang kononnya menyindir kita minta kita bubarkan parti. Mereka lupa parti ini tidak runtuh atas hinaan, cercaan dan makian,” katanya berucap melancarkan Persidangan Tahunan Srikandi dan Armada Bersatu, hari ini.

Beliau berkata, Bersatu harus akur beberapa kelemahan dalaman yang membawa kepada parti itu hanya menang di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), meskipun cukup yakin akan menang pada awalnya.

“Di peringkat awal – saya dan ramai rakan-rakan pimpinan dapat menghidu ‘udara kemenangan’. Penerimaan rakyat dan pengundi kepada ‘Abah’; saya sifatkan luar biasa. Kita dapat rasa ‘penerimaan positif’ rakyat,” kata beliau merujuk kepada presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memalu gong pada Majlis Perasmian Sayap sempena Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Bagaimanapun, pelbagai ‘kelompongan dan kelemahan’ dikesan kemudiannya, kata beliau yang menerajui jentera pilihan raya parti pada PRN itu.

“Kita banyak ‘menuding jari’, tapi tidak lihat kepada sumbangan kita sendiri. Kita kurang ‘D.I.Y’ (Do it yourself, sendiri membuat kerja) kurang. Kita suka tengok orang buat kerja; supaya mudah kita salahkan dia kalau benda tak jadi,” kata Ahmad Faizal.

“Ada juga pandangan, kita masih kekurangan ilmu pilihan raya. Kita suka jadi VIP. Saya sebut tadi, kita perlu kembali kepada asas. Asas ilmu pilihan raya ini ada dua – dan saya sendiri buat kedua-duanya. Ilmu susun kerusi dan ilmu letak bendera. Ini kita mesti fasih,” beliau memberitahu perwakilan.

Ahmad Faizal berkata, kalangan pemimpin dan ahli parti juga tidak mendekati pengundi dan ini turut menjejaskan sambutan pengundi kepada parti itu.

“Kita selalu seronok-seronok dengan kumpulan kita sendiri. Pergi Melaka. Kumpul sama sendiri. Tapi tidak turun mendekati pengundi,” katanya.

Walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang majoriti dua pertiga pada PRN itu, Ahmad Faizal berkata, PN menempa kejayaannya sendiri.

“PRN Melaka sebenarnya sudah membuka mata rakyat dan pengundi: bahawa PN serius dan bersungguh untuk memimpin negara,” kata beliau.

Beliau berkata selain menang DUN Bemban dan Sungai Udang, parti itu ‘menunjukkan potensi amat baik’ di Tanjung Bidara, Pantai Kundor dan Serkam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *