rina harun 15 calon srikandi

Srikandi Muda kukuhkan Bersatu hadapi PRU-15

SAYAP baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Srikandi Muda bakal menjadi elemen penting parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sokongan penuh yang diberikan kepada Srikandi Muda antara kesiapsiagaan Bersatu bagi menghadapi PRU-15.

Katanya, sayap Srikandi Muda yang pada asalnya satu biro di bawah Srikandi Bersatu amat penting memandangkan seramai 5.8 juta pengundi muda akan mengundi pada PRU akan datang.

“Jadi perlu untuk kita menubuhkan sayap baharu Srikandi Muda. Sebagai Ketua Srikandi, kami menyokong penuh dan mengalu-alukan penubuhan sayap ini demi mengukuhkan parti Bersatu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung Tahunan 2021, hari ini.

Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan ahli Srikandi, kira-kira 37 peratus terdiri daripada wanita yang berusia 35 tahun ke bawah.

“Jadi kita nampak ada sambutan yang menggalakkan. Dengan penubuhan Srikandi Muda ini, sudah pasti penerimaan daripada wanita muda terutamanya akan lebih kukuh kepada parti Bersatu,” ujarnya.

Rina turut mengakui penubuhan Srikandi Muda akan menyebabkan jumlah ahli Srikandi Bersatu berkurangan.

“Namun ia tidak mematahkan semangat kami kerana ini adalah salah satu usaha untuk mempergiatkan penambahan ahli parti.

“Apa yang penting adalah untuk parti dan juga untuk menarik minat golongan muda kepada Bersatu dengan lebih giat lagi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *