SEORANG remaja lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh dalam sungai ketika memancing di Sungai Seluang, dekat Jalan Paya Resak, Marang semalam.
Sebelum itu pada pukul 4 petang, mangsa, Muhammad Danish Daniel Adnan, 13, dan adiknya, Muhammad Danish Irfan, 7, memancing di sungai berhampiran rumah mereka.
Menurut Pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mazimi Mohamad, pasukan penyelamat menemukan mayat mangsa pada jarak 50 meter dari lokasi kejadian pada pukul 5.17 petang.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai cuba melepaskan tali pancing yang tersangkut dalam air sebelum terjatuh ke dalam sungai.
“Mayat mangsa ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai pada kedalaman kira-kira 4.57 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pukul 4.11 petang sebelum 12 anggota termasuk PPDA Kuala Terengganu ke lokasi kejadian.
Mangsa ujarnya, dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut sebelum jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan dekat Kampung Sungai Seluang, hari ini.
Leave a Reply