PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang merekodkan sebanyak sembilan kes berkaitan kenaikan harga ayam dan penandaan tanda harga bagi menu makanan di premis termasuk restoran di negeri itu.
Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan susulan aduan menerusi akhbar mengenai harga ayam melebihi harga maksimum Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) serta Ops Menu di daerah Barat Daya dan Timur Laut.
Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan bersama Ketua Seksyen Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (SKHAP), Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Zubir Hamsa hari ini.
Jelas beliau, pemeriksaan itu mendapati peniaga pasar awam di daerah terbabit mematuhi harga SHMKM yang telah dikuatkuasakan pada 7 Disember lalu melibatkan 12 barangan keperluan seperti kategori ayam hidup, ayam standard, ayam super dan sayur-sayuran.
“Ops Menu pula dijalankan bagi memastikan pemilik restoran dan kedai makan mematuhi penandaan tanda harga dan pemakaian alat timbang selain mengamalkan budaya perniagaan beretika dan tidak memperdayakan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Ridzuan, pihaknya turut menjalankan sebanyak 249 pemeriksaan sejak SHMKM berkuat kuasa dan merekodkan tujuh kes dengan nilai kompaun sebanyak RM500 manakala dua kes lagi dicatatkan dalam Ops Menu melibatkan 490 pemeriksaan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan mana-mana peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga yang tidak munasabah dengan niat untuk mendapatkan keuntungan berlebihan.
Tegasnya, perbuatan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.
Leave a Reply