TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan setiap peringkat parti daripada kepemimpinan sehingga akar umbi untuk melakukan muhasabah dan penilaian diri bagi kembali kepada asas perjuangan.
Menurut beliau, dalam persiapan untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang, semua pihak perlu sedar bahawa Bersatu terbangun dari tekad menolak rasuah, fasad dan budaya kleptokrat.
Ujarnya, kedudukan dan pangkat yang diperoleh parti ketika ini adalah tidak lebih daripada ujian Allah SWT selepas memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Sebahagian kecil kita jadi lupa dengan apa yang kita perjuangkan. Malah, kita amalkan perkara-perkara yang kita ‘musuhi’ dulu, sewaktu kita tidak mempunyai jawatan dan kedudukan. Kita mesti cepat menolak segala kelemahan yang melalaikan.
“Jika mereka bergerak dengan kesombongan; kitalah pembawa jalur budi dan kesederhanaan. Jika mereka angkuh dan ujub; lekaslah kita membawa taslim dan tawaduk ke dalam diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan serentak Perhimpunan Agung Tahunan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi BErSATU 2021 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC).
Kata beliau, pentas menerusi Perhimpunan Agung Tahunan merupakan kesempatan terbaik untuk melakukan pengukuhan semula nilai politik dalaman dengan berbalik kepada asas dan teras perjuangan parti.
“Kita perlu menghargai jentera akar umbi parti; kerana mereka-lah nadi kekuatan kita. Kita perkukuh kemesraan dan semangat kekeluargaan sesama kita. Kita perlu jujur dan ikhlas dengan diri sendiri,” katanya.
Dalam ucapannya, Ahmad Faizal juga meminta para perwakilan untuk membuka mata mengenai kelemahan-kelemahan ketara semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November lalu iaitu budaya ‘menuding jari’ tanpa melihat sumbangan sendiri serta amalan politik lama yang ‘berseronok’ sesama kumpulan sendiri.
“Akhirnya, kita tewas di 26 kerusi daripada 28 yang kita tandingi. PRN Melaka membuktikan, ‘angin sokongan’ kepada Abah dan Perikatan Nasional sudah padu dan kuat; namun jentera dan outreach kita mesti juga diperkukuh,” katanya.
Katanya, meskipun ada pihak menyindir agar Bersatu dibubarkan di atas prestasi semasa PRN Melaka, beliau menegaskan Bersatu tidak runtuh atas hinaan, cercaan dan makian.
“Namun begitu, saya juga wajib sebut di sini – PRN Melaka sebenarnya sudah membuka mata ‘rakyat’ dan ‘pengundi’; bahawa Perikatan Nasional ini serius dan bersungguh untuk memimpin negara,” katanya.
Jelasnya, dengan ketegangan politik merupakan ‘norma baharu’ suasana pasca pandemik, beliau amat yakin Bersatu mempunyai kekuatan untuk melakukan perubahan dan pengadaptasian bagi mendepani cabaran berkenaan.
“Bekerjasama dan saling membahu dalam memperkuat pengaruh kita di akar umbi. Saya yakin, jika ini dapat kita lakukan, kerjasama kita di dalam Perikatan Nasional akan dapat membawa kejayaan yang lebih bermakna.
Leave a Reply