DALAM musim wabak yang melanda dunia, anak muda berdepan dengan cabaran yang dahsyat dan kebanyakan rasa tersinggung dengan aturan ekonomi sehingga bertindak untuk mengundurkan diri daripada arus perdana.
Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal memandang serius perkara itu kerana mengakibatkan ketirisan bakat atau ‘brain drain’ secara lokal.
Beliau berkata, tenaga kerja mahir tidak mampu mendapatkan kerja dan gaji yang berpadanan dengan kebolehan dan kelayakan mereka.
“Gaji yang tidak setimpal, eksploitasi oleh majikan dan pelbagai isu lain telah mengakibatkan bukan sahaja kadar keberhutangan yang tinggi, malah kualiti hidup dan kebahagiaan yang rendah dalam kalangan anak muda.
“Bayangkan, takkanlah graduan universiti perlu menjual nasi lemak atau jadi ‘rider’ untuk jangka panjang sebagai sumber rezeki? Kita tidak memperkecilkan pekerja ekonomi ini, malah kita alu-alukan kebebasan berekonomi.
“Namun ini tidak seharusnya menjadi norma dalam berkerjaya,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ke-3 tahun 2021, hari ini.
Tambah beliau, kesenjangan ekonomi akibat pandemik Covid-19 melahirkan suatu generasi muda yang seolah-olah hilang punca, yang dinamakan ‘belia resah’, jika tidak disantuni, boleh menjadi bom jangka yang bakal meranapkan struktur sosio-ekonomi semasa.
“Jangan sampai generasi muda ini terkandas, menjadi generasi yang hilang – atau the lost generation. Habis nanti senggang yang mereka tinggalkan ini mahu diisi oleh siapa?
“Jika tiada generasi penyambung, habis kita perlu bermula semula dari bawah. Sia-sia usaha generasi terdahulu, dan ternganga generasi yang datang selepasnya,” kata Wan Fayshal.
Sementara itu beliau berkata, selain daripada Dasar Belia Negara sedia ada, negara juga perlukan sebuah pelan tindakan untuk menterjemah wawasan ini sehingga hasilnya dapat dikecap oleh pemuda-pemudi di lapangan.
“Selaku Ketua Armada Nasional, saya menyeru kerajaan pada harini menggagaskan sebuah Dasar Ekonomi Belia Malaysia yang perlu diwujudkan di bawah payung besar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030
“Perkara ini akan merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030), agar program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan secara ‘whole of government approach’ dan ‘whole of society approach’ benar-benar membuahkan hasil untuk golongan sasar,” katanya.
Menurut beliau, anak muda bukan sekadar menjadi nota kaki dan statistik dalam pembikinan dan pelaksanaan polisi, sebaliknya, selayaknya menjadi rakan kongsi dan rakan sejawat utama dalam penentuan dasar negara.
Leave a Reply