POLIS sudah mengenal pasti 10 individu maut dirempuh treler ketika berhenti di lorong kecemasan Kilometer 8.3 Lebuhraya Elite menghala Shah Alam malam tadi yang turut menyebabkan seorang ibu dan lapan anaknya maut di tempat kejadian.
Mangsa yang meninggal dunia adalah Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya berusia antara 10 bulan hingga 16 tahun dilaporkan menaiki Proton Wira dipandu suaminya Abdul Razak Majit, 50, yang cedera ringan, lapor Berita Harian.
Lapan anak Abdul Razak yang maut dalam kemalangan itu adalah Muhamad Raid Fathi, 10 bulan, Puteri Nur Ain Syalwana, 3, Muhamad Hidayat Hakimie, 7, Muhamad Rolkaizat Rezky, 9, Muhamad Aizat Shazwan, 10, Razatul Aliah, 16 dan Muhamad Razarul Amin, 17.
Seorang lagi mangsa yang maut adalah seorang mekanik, Muhamad Rahimi Rolex, 27, yang mana ketika kejadian memandu kereta jenis Proton Wira, datang untuk membantu menghidupkan bateri kereta dipandu Abdul Razak.
Selain dua kereta Proton Wira, sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia turut berada di lokasi kejadian juga untuk membantu kereta dipandu Abdul Razak.
Jurucakap Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, berkata semasa kejadian keadaan permukaan jalan lebuh raya tiga lorong sehala menghala ke Shah Alam licin akibat hujan lebat.
“Sebuah lori yang datang dari arah belakang secara tiba-tiba gagal dikawal dan merempuh tiga kereta berkenaan yang sedang berhenti di lorong kecemasan.
“Pada masa sama lori berkenaan menyeret kereta Abdul Razak ke kanan lebuh raya sehingga menyebabkan sembilan ahli keluarganya dan Muhamad Rahimi maut di tempat kejadian,” katanya kepada BH hari ini.
Seorang mangsa yang cedera parah serta dua cedera ringan dihantar ke Hospital Shah Alam, untuk rawatan.
Setakat ini pihak polis sedang menahan pemandu treler terbabit untuk siasatan lanjut. Individu yang menaiki treler tidak cedera dikenali Mohd Khairol Kamal Abdullah, 45; serta dua anaknya Haiqal Haziq, 19; dan Hafiey Hamziey, 14.
Hasil ujian air kencing dan ujian pengambilan alkohol juga mendapati pemandu lori terbabit bebas dari dadah dan alkohol.
Leave a Reply