BALAI Polis Lubok Cina dan sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Masjid Tanah ditenggelami air sejak pukul 5 pagi tadi.
Keadaan itu berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan paras Sungai Rembau yang kira-kira 100 meter dari bangunan dan jentera berkenaan melimpah ke daratan.
Melalui hantaran dalam Facebook Polis Alor Gajah, balai polis berkenaan dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam.
Sementara itu, anggota bomba menjalankan gerakan menyelamat mangsa banjir di Kampung Telok Berembang berkata, jentera berkenaan diletakkan berhampiran balai polis itu awal pagi tadi.
Menurutnya yang enggan dikenali, semua anggota bomba sibuk menjalankan gerakan menyelamatkan mangsa banjir di beberapa kampung, terutama Kampung Telok Berembang yang paling teruk terjejas.
“Bagaimanapun, apabila mereka kembali ke lokasi jentera itu diletakkan, mereka dapati jentera sudah dinaiki air,” katanya.
Setakat pukul 12.30 tengah hari tadi, air masih belum surut, sekali gus menyebabkan jentera berkenaan masih belum mampu dialihkan.
Peniaga warung di pekan Lubok Cina, Mohd. Rozi Khamis, 45, berkata, warungnya yang berhampiran balai polis itu dinaiki air pukul 5 pagi.
“Saya pergi ke warung untuk menyelamatkan 100 doh roti canai tetapi tidak sempat kerana air sudah naik kira-kira 1.5 meter dan saya terkejut apabila mendapati balai polis juga sudah dinaiki air.
“Bagaimanapun, saya diberitahu, semua anggota polis dalam balai berkenaan sudah keluar sebelum air mencecah paras 1.5 meter,” katanya.
Leave a Reply