AGENSI-AGENSI di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah diarahkan bersiap sedia untuk berdepan bencana banjir yang mula melanda di beberapa negeri ketika ini.
Ini susulan hujan lebat berterusan dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, persediaan menghadapi bencana itu telah digerakkan di seluruh negara susulan Jabatan Meteorologi turut memberi amaran hujan lebat dan berterusan akan melanda beberapa negeri ketika ini.
Dalam masa sama kata beliau, agensi di bawah KASA turut diarahkan untuk segera menyalurkan maklumat berkaitan banjir kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu Mansor berkata, selain hujan lebat dan berterusan, banjir kilat yang sering berlaku juga disebabkan masalah saliran dan longkang tersumbat akibat pembuangan sampah.
“Ini berkait dengan isu pencemaran alam sekitar yang mana sampah-sarap dibuang di dalam parit sehingga saliran dan longkang tersumbat.
“Pencemaran alam serta bencana dapat dikawal sekiranya orang ramai bekerjasama dengan kita tidak merosakkan alam sekitar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program pembersihan pantai sempena Hari Alam Sekitar Negara 2021 di Pantai Batu Ferringhi, Pulau Pinang hari ini yang turut disertai para sukarelawan terdiri daripada orang awam dan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang.
Ketika ini beberapa kawasan di Selangor; Pahang; Negeri Sembilan; Kelantan dan Terengganu mula dilaporkan ditenggelami banjir selepas hujan lebat tanpa henti sejak beberapa hari lalu.
Dalam perkembangan berkaitan Mansor berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya mengumpulkan hampir 2,000 metrik tan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dari isi rumah seluruh negara sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021.
Katanya, jumlah itu yang dikutip setiap Sabtu terakhir setiap bulan bermula Januari lalu jauh lebih tinggi daripada sasaran ditetapkan menerusi program terbabit iaitu 800 metrik tan sisa e-waste.
Leave a Reply