CADANGAN bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron agar Perikatan Nasional (PN) bersama Pakatan Harapan (PH) menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ditolak bulat-bulat oleh Bersatu.
Sebaliknya, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan Idris agar meluangkan masa untuk belajar mengaji.
“Saya nak cadangkan Idris Haron, mungkin sebagai kawan lama. Saya selepas jadi MB Perak, saya lapan bulan cuti, saya belajar mengaji.
“Saya belajar betulkan bacaan dalam sembahyang dan sebagainya, jadi Idris Haron sekarang banyak masa elok buat macam tu,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa Idris yang kini bersama PKR mencadangkan agar PH dan PN bersama menentang BN pada PRU akan datang.
Mengulas hal itu, Ahmad Faizal berkata cadangan itu tidak mungkin dapat direalisasikan.
“Saya ingat cadangan beliau (Idris) tu bukan cadangan yang tak baik. Cadangan untuk menyatupadukan sesiapa adalah cadangan yang baik.
“Tapi kalau nak campur air laut dengan air tawar kemudian bela ikan, itu bukan cadangan yang baik menurut saya,” jelasnya.
Sementara itu, Ahmad Faizal juga ditanya mengenai khabar angin bahawa Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin akan meninggalkan parti itu untuk menyertai sebuah parti lain.
Beliau berkata, khabar angin tidak semestinya betul.
“Ada juga rumours yang kata saya kahwin dua. Tapi rumours tak semestinya betul.
“Yang keduanya, ada juga masa saya tak berapa gembira dengan isteri saya, tak semestinya saya nak kahwin dua.
“Sebagai sebuah parti yang besar, tentu ada di kalangan ahli yang rasa tak puas hati, tapi tak sampai tahap nak pecah-belahkan parti,” katanya.
Leave a Reply