MIC BN masa

MIC tidak setuju PRU-15 dalam masa terdekat

MIC tidak bersetuju dengan cadangan agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, masa terbaik untuk mengadakan PRU adalah ketika orang ramai selesa untuk keluar mengundi.

Menurut beliau, keadaan sekarang tidak mengizinkan perkara itu berikutan pandemik Covid-19.

“Kita boleh adakan PRU bila-bila masa. Tetapi untuk merasai demam pilihan raya adalah dengan memberi keselesaan kepada rakyat bergerak dan pembangkang serta kerajaan boleh berkempen.

“Masa terbaik untuk mengundi adalah ketika rakyat selesa untuk keluar mengundi. Sudah pasti sekarang bukan masanya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Kebelakangan ini timbul gesaan daripada kumpulan dalam UMNO agar PRU-15 dipercepatkan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat antara yang mengetuai gesaan tersebut susulan kemenangan besar UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lepas.

Menurut Ahmad Zahid, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) bukanlah ‘kitab suci’ untuk menghalang PRU lebih awal.

Sebelum ini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menggesa Ismail Sabri mempertimbangkan cadangan untuk mempercepatkan PRU-15 dengan mengatakan sentimen rakyat kini teguh bersama BN.

Sementara itu terdapat kumpulan dalam UMNO tidak bersetuju PRU diadakan dalam waktu terdekat, sebaliknya menggesa pemilihan parti itu diadakan segera sebelum November tahun hadapan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *