KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) tidak sepatutnya memaksa pengguna lebuh raya bertol menggunakan teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID).
Ketua Aktivus Persatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), Kamarudin Hussain berkata, penggunaan kad TnGo dan peranti Smart Tag sepatutnya dikekalkan.
Menurut beliau, para pengguna seharusnya diberi peluang memilih perkhidmatan yang ingin mereka gunakan.
“Apakah KKR akan membayar semula kerugian yang bakal dihadapi oleh puluhan juta pengguna yang selama ini telah mengeluarkan wang mereka untuk membeli kad TnGo dan mesin Smart Tag?
“Adakah KKR tidak mempedulikan kerugian yang bakal rakyat hadapi kelak?” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Kamarudin berkata, KKR perlu memberi fokus kepada masalah yang lebih penting daripada mengunakan kuasa yang ada untuk melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu.
Beliau menambah, kebanyakan lebuh raya yang ketika ini masih mengekalkan dua lorong yang perlu ditingkatkan kepada empat lorong atau setidak-tidaknya tiga lorong.
“Jumlah tol yang ketika ini tidak mencukupi sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan perlu ditambah agar masalah tersebut dapat diselesaikan,” katanya.
Katanya, KKR juga perlu melihat kesesakan yang sering berlaku di hentian rehat dan rawat (RnR) khususnya untuk kenderaan berat juga perlu ditangani, bukannya membiarkan ia berlarutan.
Semalam, KKR memaklumkan transaksi tol menggunakan RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Jan depan.
Namun, kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID.
Leave a Reply