MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) yang bersidang buat kali keenam pada 17 Disember ini akan membentangkan laporan dan cadangan berkaitan isu dihadapi oleh komuniti perniagaan.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan dan cadangan tersebut bakal dibentangkan oleh dua jawatankuasa tindakan khas yang dibentuk oleh MPN.
Menurut beliau, isu-isu yang dihadapi komuniti perniagaan termasuk aliran tunai, pembiayaan serta kekurangan tenaga kerja.
“Isu-isu ini sangat penting untuk ditangani segera bagi memastikan momentum pemulihan negara terus berjalan dengan baik dan mampu melangkau pencapaian tahun-tahun sebelum pandemik,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Muhyiddin turut mengulas tentang lawatan kerja sehari ke Kuching hari ini selaku Pengerusi MPN dan dalam lawatan tersebut, beliau berpeluang bertemu dengan para pemain industri di negeri itu menerusi satu sesi libat urus dengan mereka.
Dalam sesi tersebut, bekas Perdana Menteri itu berkongsi dengan para peserta tentang fokus dan hala tuju pemulihan negara terutama dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui pemberian bantuan dan pemulihan segera dalam semua sektor, terutama sektor-sektor kritikal.
“Saya juga telah mengumumkan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri yang akan memberi fokus lebih spesifik kepada isu-isu di negeri ini bagi memastikan langkah penyelesaian yang lebih cepat dan proaktif dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau menambah, antara yang telah dibangkitkan oleh pemegang-pemegang taruh dalam kalangan komuniti perniagaan Sarawak adalah isu kekurangan tenaga kerja dan masalah mendapatkan pembiayaan segera oleh sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pelbagai bidang.
Muhyiddin berkata, para pemain industri turut membangkitkan isu polisi kabotaj, isu gangguan dalam rantaian bekalan yang menyebabkan peningkatan kos barangan di Sarawak serta isu-isu lain berkaitan keperluan untuk kelangsungan perniagaan.
“Mengenai isu sosial pula, mereka melahirkan kerisauan tentang impak kepada sektor pendidikan akibat penutupan sekolah dan institusi pendidikan sehingga berlaku ketinggalan dan keciciran dalam pembelajaran,” jelasnya.
Sebelum menamatkan lawatan, beliau sempat singgah dan beramah mesra bersama penduduk dan peniaga di Batu Kawah dan Little India di Kuching.
Leave a Reply