bayi jantung

Bayi sebulan perlu RM50,000 untuk bedah jantung

SEORANG bayi berusia sebulan, Ayra Inara Alif Imran memerlukan dana sebanyak RM50,000 untuk menjalani pembedahan jantung segera bagi menyelamatkan nyawanya.

Bayi yang dilahirkan secara pembedahan pada saat-saat akhir itu dikesan mempunyai masalah saluran darah di bahagian jantung yang sempit sehingga bekalan oksigen di dalam badannya tersekat.

Lebih malang menurut Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare Bhd., Datuk Chua Sui Hau, Ayra Inara turut dikesan menghidap masalah buah pinggang.

Katanya, ketika ini bayi tersebut ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di sebuah hospital dan perlu menggunakan bantuan pernafasan serta ubat untuk mengembangkan saluran darah jantungnya bagi membolehkan bekalan oksigen dibekalkan ke seluruh tubuh khususnya di bahagian bawah badan.

Ujar Sui Hau, penggunaan ubat yang berterusan bagaimanapun memburukkan masalah buah pinggangnya pembedahan jantung perlu dijalankan terlebih dahulu bagi mengatasi masalah itu.

“Sepatutnya pembedahan Ayra Inara dilakukan di IJN (Institut Jantung Negara) atau Hospital Serdang (Selangor) namun memakan masa selain hospital tersebut digunakan sebagai pusat rawatan Covid-19 ketika ini.

“Maka, satu pembedahan jantung perlu dibuat di hospital swasta dengan kos yang dianggarkan mencecah RM50,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Sui Hau, bapa bayi tersebut, Alif Imran Abd. Aziz, 25, bekerja sebagai operator kilang manakala ibunya, Alkma Nordin, 25, merupakan pembantu klinik gigi swasta dengan masing-masing berpendapatan RM1,500 dan RM1,000.

Katanya, pasangan suami isteri itu juga memiliki seorang lagi anak berusia tiga tahun yang kini dijaga oleh neneknya dan mereka tidak mampu mengumpul dana bagi membiayai kos pembedahan itu.

“Kami bersetuju membantu pasangan itu mengutip dana daripada orang awam dan menguruskan pembedahan Ayra Inara.

“Sumbangan boleh disalurkan menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity menerusi akaun Public Bank Berhad di nombor 3201428817,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *